Harga ayam, telur: 'Entah dah berapa kali saya beri amaran' - Najib

Sinar Harian
Februari 8, 2022 22:50 MYT
Najib mendakwa telah berulang kali memberi amaran, ramalan dan cadangan tentang pengawalan harga ayam dan telur. -Gambar fail/Twitter @NajibRazak
SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa telah berulang kali memberi amaran, ramalan dan cadangan tentang pengawalan harga ayam dan telur.
Najib dalam masa yang sama menyindir Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid yang dikatakan selepas hampir 10 bulan baru memahami apa yang dinyatakan sebelum ini.
"Dari zaman PM8 sehingga PM8 tumbang, entah dah berapa kali saya sudah beri amaran serta ramalan apa akan berlaku siap dengan cadangan untuk mengatasi masalah ini.
"Melaksanakan kawalan harga tanpa menyelesaikan masalah pokok kos pengeluaran yang naik mendadak akan menyebabkan harga ayam dan telur naik mendadak atau pasaran akan kekurangan bekalan.
"Dan ini akan lagi menyeksakan rakyat jika bekalan makanan asas terhenti," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa.
Rosol pada Selasa dilapor menyatakan KPDNHEP memandang serius isu kekurangan bekalan telur ayam di pasaran.
Katanya, satu perbincangan akan diadakan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk mencari penyelesaian segera bagi mengatasi masalah tersebut.
"Jadi, kita akan bincang untuk atasi situasi ini supaya isu harga dan bekalan tidak menjadi masalah kerana kalau harga stabil, tapi bekalan tidak ada pun akan jadi masalah juga," kata Rosol.
*Berita asal di Sinar Harian
#Najib Razak #pengawalan harga ayam dan telur #KPDNHEP #Rosol Wahid