Harga ayam pasar tani di Selangor bawah RM8 sekilogram

Bernama
Julai 16, 2013 07:37 MYT
Harga ayam di pasar tani di Selangor dijual di bawah RM8 sekilogram selepas Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memperkenalkan diskaun 70 sen bagi seekor ayam, sejak beberapa bulan lepas.
Pengarah FAMA Selangor Mansor Omar berkata dengan diskuan itu harga ayam di semua pasar tani di negeri itu adalah antara RM7.30 hingga RM7.80 sekilogram.
"Sehubungan itu, pengguna boleh membeli ayam dari pasar tani FAMA sebagai alternatif sekiranya peniaga masih menjual ayam dengan harga yang tinggi di pasar-pasar harian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Selasa.
Tinjauan di beberapa pasar di Shah Alam mendapati peniaga menjual seekor ayam dengan harga RM8 hingga RM8.50 sekilogram.
Mansor juga tidak menafikan ayam di pasaran dijual lebih tinggi tahun ini berbanding tahun lepas iaitu sekitar RM7 sekilogram, namun Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah melaksanakan beberapa langkah bagi membendung masalah itu.
Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam memaklumkan kementerian telah memberikan lesen kepada 34 syarikat untuk mengimport ayam dari China, Thailand, Australia dan Kesatuan Eropah (EU) berkuatkuasa serta-merta bagi menstabilkan semula harga ayam di pasaran yang kini mencecah RM10 sekilogram.
Sementara itu, tinjauan di Pasar Seksyen 6 di sini mendapati udang biasa dijual pada harga RM17 sekilogram, sotong RM22 sekilogram serta beberapa jenis ikan seperti kembung, tongkol dan pelaling dijual pada harga antara RM7 dan RM11 sekilogram.
#Ayam #FAMA #pasar tani
;