Harga ayam naik di Alor Setar, pembekal dakwa tiada bekalan
Mei 16, 2020 11:15 MYT
Kenaikan mendadak itu berlaku berikutan modal yang dikeluarkan mereka tinggi selepas pembekal memaklumkan bahawa kekurangan bekalan ayam disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Mohd Zuhair Zahir, 36, berkata, dia yang berniaga ayam sejak 2008 ingin membantu pelanggan dengan menjual ayam pada harga berpatutan, namun tidak dapat berbuat demikian kerana harga yang dijual daripada pembekal kepada mereka didapati sentiasa naik sejak beberapa minggu lalu.
Kebiasaannya modal yang dikeluarkan sekitar RM4 bagi sekilogram ayam tetapi kali ini kami keluarkan RM8 sekilogram, naik dua kali ganda.
Hal ini menyebabkan dia terpaksa menaikkan harga ayam jika tidak dia akan menanggung kerugian lebih besar apatah lagi keuntungan yang diperoleh juga sangat kecil berbanding sebelum PKP.
Jelasnya, selepas ditolak dengan bayaran gaji pekerja dan kos lain, untung yang diperoleh ala kadar untuk menyara keluarga.
"Sebelum masa mula-mula (pelaksanaan) PKP, ayam RM5.60 sekilo, lepas awal bulan Mei, mula naik harga, sekali naik (kenaikan) 50 sen," katanya.
Ekoran itu, Fauzi menegaskan, pelanggan sering beranggapan peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga ayam sesuka hati menyebabkan pelanggan tidak lagi membeli kerana terlalu mahal.
Bagi seorang pelanggan, Ahmad Khairil Mazwan, 40, dia amat berharap harga ayam kembali stabil berikutan umat Islam bakal menyambut Aidilfitri minggu hadapan.
Kenaikan ini, katanya, sangat mendadak dan tentunya membebankan pelanggan terutama golongan yang tidak bergaji sejak pandemik COVID-19 melanda negara.
"Semenjak PKP, kita rasa macam ada tekanan... harga pun meningkat macam kelmarin dan hari ini (harga) dalam RM7.60 (sekilo) di pasar ini (Pasar Besar Alor Setar), kalau di tempat lain saya ingat (harga) dalam RM8, lebih RM9 pun ada juga dijual. Harga macam itu membebankan kami pengguna," katanya.
"Kalau ada peningkatan harga, (terpaksa) cari (pilihan) makanan lain seperti ikan, telor dan apa yang boleh kita makan lah," kata Mohd Nazri Abu Bakar, seorang juruteknik.