Harga ayam: KPDNHEP adakan sesi libat urus bersama pengeluar, penternak
Astro Awani
September 13, 2021 11:05 MYT
September 13, 2021 11:05 MYT
KUALA LUMPUR : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil pendekatan baharu bagi menangani masalah kenaikan harga barang terutama harga ayam di pasaran.
Menurut menterinya, Datuk Seri Alexander Nanti Linggi, pendekatan baharu ini membabitkan pengeluaran surat pemberitahuan kepada peniaga peringkat borong dan runcit untuk mengadakan libat urus (engagement) bersama pengeluar dan penternak ayam di lokasi atau lokaliti berlakunya kenaikan harga.
Jelasnya, pendekatan ini bertujuan untuk membolehkan peniaga menyemak harga barang dan kos belian bagi mendapatkan margin untung yang lebih munasabah di samping memberi peringatan kepada peniaga ayam supaya tidak menaikkan harga di mana-mana peringkat rantaian pengedaran sewenang-wenangnya.
"Adalah diharapkan, peniaga di semua peringkat rantaian mengekalkan etika yang tinggi dalam menjalankan perniagaan dan membantu kerajaan agar harga ayam kekal stabil tanpa kenaikan mendadak dan berterusan.
"Sekiranya peniaga enggan memberi kerjasama dalam menjayakan pendekatan baharu ini, tindakan tegas akan diambil dan kompaun maksimum dan/atau pendakwaan di mahkamah akan diambil ke atas peniaga terlibat.
"KPDNHEP akan mengadakan perbincangan secara berterusan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam memastikan faktor huluan seperti harga dedak ayam yang diimport, harga baka ayam dan harga anak ayam yang mempengaruhi harga ayam di peringkat hiliran dapat diminimakan dan terurus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, KPDNHEP tidak bercadang untuk memperkenalkan kawalan harga tambahan selain yang telah dilaksanakan ketika musim perayaan besar Malaysia di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).
Bagaimanapun, kementerian tidak teragak-agak untuk melaksanakan kawalan harga jika harga terus meningkat di luar harga munasabah atau terdapatnya kartel yang memunipulasi harga di semua peringkat rantaian.
Pemantauan harga runcit pada 10 September 2021 mendapati harga purata ayam bersih standard peringkat Nasional adalah pada paras RM8.83/kg.
Di Semenanjung, harga purata ayam bersih standard adalah RM8.78/kg dan julat harga jualan adalah antara RM5.99/kg hingga RM11.00/kg.
Berdasarkan pemerhatian Kementerian, premis yang menjual pada harga tinggi melebihi RM9.00/kg terdiri daripada pasar basah/awam. Harga paling tinggi adalah RM11.00/kg dijual di Pasar Besar Raub, Pahang.
Di Sabah, harga purata ayam bersih standard adalah pada RM11.33/kg. Harga paling tinggi adalah RM11.80/kg dijual di Gentingmas Mall, Sandakan manakala harga paling rendah adalah RM10.90/kg dijual di Pasar Basah Sibuga, Batu 8 di Sandakan.
Di Sarawak pula, harga purata ayam bersih standard adalah RM8.56/kg. Harga paling tinggi adalah RM9.80/kg dijual di Central Market, Sarikei manakana harga paling rendah adalah RM7.50/kg dijual di Everwin Supermarket Mukah.
KPDNHEP akan terus bertindak melalui pelaksanaan pelbagai operasi penguatkuasaan seperti OPS PASAR (Ayam), OPS CATUT 8.0 (Pengeluar/ Penternak/ Pengilang dan Pemborong Ayam), OPS PASAR 2021 (Telur Ayam) dan OPS RANTAI (Makanan atau Dedak Ayam) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) yang telah menghasilkan 208 notis bertulis kepada peniaga, lima item dikesan mencatut dan dua kertas siasatan telah dibuka bagi siasatan lanjut dibawah S.14 (1), AKHAP 2011 dan satu lagi kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 21(5), AKHAP 2011.