Harga ayam golek, ayam percik, kuih-muih meningkat di bazar Ramadan sekitar Kedah
Abd Hadi Che Awang
April 7, 2022 19:00 MYT
April 7, 2022 19:00 MYT
ALOR SETAR: Harga jualan makanan berasaskan tepung dan ayam seperti kuih-muih, ayam golek dan ayam percik di bazar-bazar Ramadan sekitar negeri Kedah didapati meningkat dengan agak mendadak.
Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusof menjelaskan, situasi itu adalah disebabkan peningkatan harga dua bahan mentah itu dipasaran secara berterusan sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, harga ayam yang dijual di bazar Ramadan tahun ini meningkat RM3 hingga RM7 bagi setiap bahagian atau ekor jika dibandingkan dengan tahun lalu manakala bagi kuih-muih, berlaku peningkatan 50 sen sehingga RM3 bagi setiap set yang dijual.
Yusrizal turut menyatakan bahawa, pihaknya turut menerima maklumat berkaitan pengurangan jumlah peniaga kuih-muih di bazar Ramadan tahun ini berikutan tidak mampu menampung peningkatan harga bahan mentah, selain ada juga antara mereka mengambil inisiatif dengan menjual menu lain.
"Yang kita nampak (peningkatan harga yang) ketara adalah (melibatkan jualan) berasaskan ayam dan berasaskan tepung, kalau tengok (harga) minuman ini masih kekal seperti lama tetapi minuman melibatkan susu telah naik harga.
"Berdasarkan laporan yang diterima CAKE, ada peniaga terpaksa menaikkan harga kuih sehingga tidak mampu dibeli oleh pengguna. (Ada juga antara mereka) mengambil keputusan untuk tidak jual langsung bagi mengelakkan aduan daripada pengguna dan (mereka) memilih resipi yang lain untuk dijual seperti air dan sebagainya," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan di Bazar Ramadan Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, Yusrizal memaklumkan bahawa laporan kenaikan harga yang paling banyak diterima CAKE berhubung kenaikan harga jualan di bazar Ramadan bermula 3 April lalu adalah melibatkan ayam percik dan ayam golek diikuti kuih muih.
"Yang banyak dapat aduan (adalah) ayam percik dan ayam golek, yang tu terlebih dahulu kita dapat aduan (sejak hari pertama puasa), kemudian baru disusuli kuih-muih," katanya.