Harga ayam di Perak masih rendah - Pengarah KPDN
Abd Razak Mohd Ali
November 10, 2023 08:10 MYT
November 10, 2023 08:10 MYT
IPOH: Harga ayam di Perak masih murah selepas kerajaan mengumumkan pengapungan harganya mulai 1 November lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, setakat ini, ia masih terkawal dan pihaknya tidak menerima laporan mengenai kenaikannya.
Malah, katanya, berdasarkan maklumat dan pemantauan yang dibuat, harga ayam masih di bawah harga kawalan yang terakhir sebelum pengapungan iaitu RM9.40 sekilogram.
“Masih terkawal di bawah RM9.40 malah kita tengok ada yang menjual paling murah RM7.30 atau RM7.99, berbeza mengikut tempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat Pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023 dan Program Jualan Rahmah KPDN Perak di AEON Klebang, di sini, semalam.
Kamalludin berkata, pihaknya akan terus membuat pemantauan untuk memastikan harga ayam tidak naik hingga ke tahap tidak munasabah.
“Walaupun kita tidak kawal selepas diapungkan tetapi kita akan terus memantau dan jika ada aduan harga melampau dan tidak munasabah, kita akan pergi periksa dan ambil tindakan tegas di bawah Akta rAnti Pencatutan 2011.
“Tapi setakat ini, ramai yang kata harga lagi murah berbanding harga kawalan terakhir RM9.40 sekilogram,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kamalludin berkata, seramai 175 pegawai penguat kuasa dan 70 pegawai pemantau harga KPDN Perak ditugaskan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023.
Menurutnya, pegawai-pegawai berkenaan akan membuat pemantauan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah di seluruh negeri.