Harga ayam di Kedah dijangka naik lagi menjelang Aidilfitri
Adie Sufian Zulkefli
Mei 19, 2020 11:00 MYT
Mei 19, 2020 11:00 MYT
Harga ayam dijangka meningkat lagi sebelum Aidilfitri.
Itu realiti yang bakal dihadapi pengguna di Kedah berikutan peniaga didakwa terpaksa membeli bekalan ayam dengan harga lebih tinggi daripada penternak.
Tinjauan Astro AWANI bersama Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohd Yusrizal Yusoff di Pasar Besar Alor Setar mendapati harga ayam dijual sehingga RM9 sekilogram.
Peningkatan harga ini menyebabkan peniaga terpaksa mengehadkan pembelian ayam setiap hari daripada pemborong.
Menurut Mohd Yusrizal, pihaknya menerima banyak aduan berkaitan harga ayam yang terlalu tinggi sehingga mencecah RM13 sekilogram di negeri ini sejak dua minggu lalu.
"Harga RM13 bukan seekor ayam tapi hanya sekilogram dan itu amat mahal berbanding sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) cuma RM5 atau RM6 sekilogram.
"Kami turut dimaklumkan harga ayam dijangka meningkat dua hari menjelang Aidilfitri dan ia akan menyebabkan pengguna sukar membeli ayam," katanya.
Tambahnya, kenaikan itu amat membebankan pengguna ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyebabkan ramai yang terpaksa berjimat disebabkan sebelum ini tidak dapat bekerja akibat PKP disebabkan COVID-19.
"Ada yang kita percaya mengambil kesempatan, jadi barang-barang ini keluar dan mereka pun jual dengan harga yang tinggi.
"Persatuan Pengguna Kedah menggesa supaya kita lihat balik situasi sebab ini adalah musim perayaan di mana kita dah buat survey dalam laman web KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), bahawa untuk setiap musim perayaan, ada harga kawalan.
"Tapi tahun ini kita dah tanya semua peniaga-peniaga, tiada harga kawalan yang dilaksanakan untuk tahun ini.
"Jadi kami minta supaya KPDNHEP melaksanakan skim harga kawalan," katanya.
Dalam pada itu, peniaga ayam turut mengakui berlakunya peningkatan harga bahan mentah tersebut.
Wan Ahmad Fauzi Wan Ismail, 49, berkata peningkatan itu berlaku disebabkan kenaikan harga dari ladang akibat COVID-19.
Menurutnya, sebelum ini harga ayam mentah merudum sehingga mencecah RM4 sekilo.
Disebabkan berlaku kenaikan harga ketara daripada penternak, peniaga ayam terpaksa menaikkan harga untuk menampung kos pekerja dan kos operasi lain.
"Harga ayam meningkat disebabkan oleh kenaikan harga dari ladang disebabkan oleh COVID-19 sebelum ini, harga jatuh pada paras lantai harga RM4 ke bawah.
"Disebabkan kerajaan umum semua sektor dibuka dan kebetulan mereka pun naikkan harga lebih tinggi.
"Sebab mereka nak tampung kerugian ketika PKP empat minggu dulu; mereka terpaksa naikkan harga.
"Akibatnya, pengguna yang terkesan dengan kenaikan harga ini. Bukan disebabkan peruncit atau pemborong, tapi pembekal dari ladang yang naikkan harga," katanya.
#Aidilfitri
#Harga Ayam
#Kedah
#mahal
#Mohd Yusrizal Yusoff
#pembekal
#pemborong
#pengguna
#peruncit