Harga arang batu global pada rekod tertinggi, kestabilan bekalan tenaga negara terjamin
Haikal Raman
April 18, 2022 11:32 MYT
April 18, 2022 11:32 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak mengalami sebarang gangguan keselamatan tenaga, sebaliknya mempunyai bekalan minyak serta gas asli mencukupi biarpun berdepan krisis global khususnya peperangan Ukraine-Rusia ketika ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Ts. Abdul Razib Dawood berkata, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mendefinasikan keselamatan tenaga sebagai ketersediaan bekalan tenaga tanpa gangguan pada harga berpatutan dan perkara itu sangat penting kepada negara.
“Kerajaan menerusi Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) serta agensi-agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Tenaga, Petronas dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) sentiasa mengambil langkah-langkah komprehensif bagi memastikan keselamatan tenaga terjamin pada setiap masa.
“Kita turut mempelbagaikan sumber penjana elektrik negara dan ketika ini arang batu menjadi sumber paling utama iaitu sebanyak 47 peratus dan diikuti gas asli serta tenaga boleh baharu termasuk sumber daripada hidro elektrik masing-masing pada 41 peratus dan 12 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu pada program Agenda AWANI bagi membincangkan topik Pemulihan Krisis Tenaga Global baru-baru ini.
Menurut Abdul Razib, harga bagi sumber arang batu menunjukkan trend peningkatan mendadak, yang mana ketika ini ia berada pada paras AS$400 per metrik tan berbanding AS$200 pada Oktober lalu dan hanya direkodkan sebanyak AS$27 ketika awal 2021.
“Situasi ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap kos penjanaan elektrik negara kerana Malaysia bergantung sepenuhnya kepada sumber arang batu import dan nilai gas asli kita berpandukan harga brent minyak mentah dunia.
“Perkara ini akan memberi kesan langsung terutamanya apabila kita ingin menentukan kadar Kos Pelepasan Tidak Seimbang (ICPT) yang akan bermula pada Julai ini,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua (Perolehan & Rantaian Bekalan) TNB Fuel, Abdul Halim Othman berkata, meskipun Malaysia bergantung sepenuhnya bekalan arang batu import pihaknya sentiasa memastikan rantaian keselamatan mencukupi dengan mempelbagaikan rangkaian pembekal.
“Perkara utama adalah keselamatan bekalan, justeru itu kita tidak boleh hanya bergantung pada satu sumber sahaja sebaliknya perlu mendapatkan jaminan bekalan dari pelbagai negara. Ini merupakan kaedah dalam mengatasi dan mengurangkan risiko kekurangan sumber.
“Bagi memastikan harga kekal kompetitif, kita mengikut harga pasaran semasa dalam usaha mengurangkan impak faktor luar khususnya peperangan Ukraine-Rusia berlaku ketika ini (menyebabkan harga meningkat pada kadar sangat tinggi),” jelasnya.
Justeru itu, TNB membuat kontrak jangka masa panjang dengan menetapkan harga dalam tempoh satu tahun, ia sekali gus mampu mengurangkan impak yang berlaku.
Tambah Abdul Halim, ketika ini permintaan bekalan gas dari negara-negara Eropah meningkat secara mendadak, disebabkan peperangan yang tercetus kerana mereka mendapat sumber bekalan itu dari Rusia.
“Polisi sekatan bekalan gas dilaksanakan Rusia membuatkan mereka terpaksa menjana kembali tenaga menggunakan arang batu. Permintaan tinggi ini menyebabkan peningkatan terhadap harga arang batu (the law of demand and supply).
“Justeru itu kita terpaksa berdepan dengan gelombang ini dan menerusi pemerhatian, kami menjangkakan harga akan kembali stabil dalam tempoh enam bulan akan datang,” katanya.
Malaysia menggunakan harga-harga indeks antarabangsa bagi harga arang batu seperti Indeks Arang Batu Global (GCI) dan API Indeks Arang Batu dalam memastikan harga bekalan kekal kompetitif.