Harapan PM Anwar Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam sepakat selesai isu di Gaza

Hafiz Marzukhi
November 10, 2024 06:00 MYT
Anwar menyampaikan syarahan umum di Pusat Persidangan Al Azhar di hadapan mahasiswa dari Malaysia sempena lawatan rasmi empat hari Anwar ke Mesir, Kaherah, 10 Nov 2024. -- fotoBERNAMA
KAHERAH: Di tengah lawatan rasmi ke Mesir dari 9 hingga 12 Nov, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas ke Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam yang dijadual berlangsung hari ini.
Pesawat khas membawa Perdana Menteri berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah pada jam 7.17 malam Ahad waktu tempatan.
Pada sidang kemuncak itu kelak, Anwar berkata, beliau "akan menyuarakan mandat rakyat Malaysia khususnya menyentuh isu serangan dan kekejaman berterusan rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin dan Lubnan.”
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan ringkas sebelum berlepas dari sini.
Terdahulu, beliau menyampaikan syarahan umum di Universiti Al-Azhar, di sini, di hadapan lebih 1,500 pelajar.
Dalam syarahan itu, beliau menyatakan harapan supaya wakil-wakil negara yang menghadiri sidang kemuncak tersebut akan mencapai kata sepakat bagi isu di Gaza.
Syarahan umum beliau bertajuk 'Teguh Bersama: Visi untuk Umat Islam melalui Pemerkasaan Teknologi, Sosial, dan Ekonomi'.
“Esok, saya bersama Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi akan ke Riyadh untuk membincangkan perkembangan terkini mengenai Gaza dan Palestin,” katanya.
Selain itu, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Abdel Fattah dan kerajaan Mesir atas peranan mereka dalam memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza.
"Terima kasih atas bantuan menghantar dua pesawat tentera ke Rafah untuk membawa pesakit Palestin yang akan ditempatkan di hospital tentera di Malaysia,” katanya.
Perdana Menteri dijadual kembali semula ke Kaherah selepas sidang tersebut selama satu hari Iagi bagi meneruskan program rasmi beliau di Mesir pada 12 Nov.
#Sidang Kemuncak Arab-Islam #rejim zionis Israel #Anwar Ibrahim #Gaza #terkini
;