Harapan Merdeka Luat, anak rumah panjang di Hulu Rajang
Astro Awani
Ogos 31, 2020 14:45 MYT
Ogos 31, 2020 14:45 MYT
Tiada tertinggal tiada terpinggir itulah semangat hari kemerdekaan dan juga hari Malaysia. Definisi merdeka ada pelbagai bergantung kepada tafsiran dan keadaan.
Bagi penduduk di pedalaman Kapit atau lebih spesifik di Hulu Rajang tafsiran merdeka itu bukan hanya bebas dari penjajahan. Mereka mengharapkan taraf kehidupan yang lebih selesa.
Ketua Pengarang Astro AWANI, Kamarul Bahrin Haron, merakam harapan salah seorang penduduk Rumah Panjang Nyamok, di Nanga Serau, Sungai Gat.
Luat Bilong anak muda Iban yang jadi kebanggaan penduduk rumah panjang ini. Graduan Universiti Utara Malaysia UUM ini kini berkhidmat di Kementerian Luar Bandar dan Wilayah Malaysia.
Bagi Luat penduduk pedalaman tidak boleh ketinggalan dari aspek pembangunan terutamanya akedemik dan sosial ekonomi. Peluang perlu sama dengan penduduk di kawasan bandar.
"Semestinya kerajaan memang merancang untuk memastikan penduduk luar bandar tidak ketinggalan.
"Saya selaku penduduk di kawasan ini juga memang mengharapkan kemudahan seperti jalan luar bandar bekalan elektrik dan air dan semua kemudahan yang lain," luahnya.
Luat turut berkongsi pengalamannya ketika zaman persekolahan dahulu. Tiada jalan raya, yang ada hanya laluan sungai.
"Apabila kecil dulu semua ibu bapa di rumah ini menghantar anak mereka ke sekolah dengan bot serta perahu panjang.
"Untuk pergi ke pekan Kapit kita terpaksa bangun pukul 5.30 pagi dan menggunakan perahu panjang sampai ke Nanga Gat. Dari Nanga Gat menggunakan bot ekspres selama tiga jam untuk sampai ke pekan Kapit," kongsinya kepada Astro AWANI.
Kini segalanya berubah. Kemajuan semakin dinikmati Rumah Panjang di Nanga Serau misalnya kini melalui fasa transisi daripada gaya tradisi kepada rumah panjang moden.
"Dengan projek tapak baru rumah panjang nanga serau ia akan beri keselesaan dan demi penduduk rumah panjang.
"Rumah panjang yang lama ini diperbuat daripada kayu tetapi rumah panjang yang baru yang sedang dalam perancangan ini akan dibina dalam keadaan lebih baik iaitu simen dan juga disertakan dengan jalan jalan menghubungkan ke satu tempat," tambahnya.
Di akhir perbualan Luat menzahirkan penghargaannya kepada usaha Kerajaan Sarawak dan kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.
Kata Luat, inilah makna merdeka bagi mereka iaitu 'memerdekakan' penduduk dari belenggu kekurangan bagi menikmati kehidupan yang lebih selesa.
#air
#Astro Awani
#bot
#ekonomi
#Hari Malaysia
#Hulu Rajang
#Kapit
#Malaysia
#Merdeka
#Nanga Gat
#Nanga Serau
#rumah
#Sarawak
#sekolah