Harapan masyarakat menjelang pembentukan Kabinet
Fareez Azman
Ogos 22, 2021 14:12 MYT
Ogos 22, 2021 14:12 MYT
KUALA LUMPUR: Menjelang pembentukan Kabinet yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelak, rakyat masih menunggu nama-nama yang akan dilantik sebagai Menteri mahupun Timbalan Menteri.
Sudah tentu, bayangan rakyat adalah jelas, iaitu mereka mahukan barisan Kabinet yang lebih baik dan mampu menangani isu pandemik COVID-19 serta memulihkan ekonomi negara dalam kadar segera.
Bagi pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), Vigna Rubash Ram, 20, harapannya sebagai rakyat hanya ingin melihat kerajaan baharu yang akan dibentuk dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung rakyat ketika ini.
"Saya harap, mereka (kerajaan baharu) dapat memberi layanan sama kepada semua dan kerajaan ini juga dapat keluarkan satu strategi baharu.
"Mengenai muka lama atau muka baharu, saya rasa tidak ada banyak perbezaan. Hanya harapan kami agar kesengsaraan yang ditanggung rakyat ketika ini dapat dikurangkan," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Dalam pada itu, Aishah Putri Hendra, 19, pelajar di salah sebuah universiti swasta pula mahu ekonomi negara dapat dipulihkan menerusi pemerintahan kerajaan baharu.
"Bagi saya sebagai rakyat yang perlu diselesaikan ekonomi, sebab ibu bapa saya ada perniagaan, tetapi terpaksa ditutup. Jadi saya harap kerajaan baharu dapat menyelesaikan apa yang patut dalam ekonomi," katanya.
Penganalisis | Cabaran pembentukan Kabinet
Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi pula berpendapat, Perdana Menteri perlu segera merangka pelan untuk keluar daripada pelbagai krisis yang dihadapi negara ketika ini.
Pada masa sama jelasnya, keseimbangan pelantikan dalam Kabinet amat penting, namun, apa yang lebih perlu diutamakan ialah prestasi pemimpin yang dipilih.
"Kita hanya ada kira-kira 17 bulan sahaja sebelum pilihan raya umum yang akan datang. Justeru, ahli Kabinet yang dipilih perlu efisien bagi membolehkan segala perancangan dan fungsi berjalan dengan baik.
"Perdana Menteri perlu lihat setiap lantikan itu sebagai lantikan untuk negara. Pastikan fokus terarah pada isu-isu besar seperti ekonomi dan kesihatan," jelasnya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Ahad.
#COVID-19
#ekonomi
#ismail sabri yaakob
#kabinet
#Malaysia
#pandemik
#pelajar
#Perdana Menteri
#pilihan raya
#PM
#rakyat Malaysia
#menteri
#Timbalan Menteri