Harap projek air Perak Pulau Pinang dapat disegerakan - KM
Bernama
Mac 8, 2024 06:40 MYT
Mac 8, 2024 06:40 MYT
GEORGE TOWN: Pulau Pinang berharap Kerajaan Persekutuan dapat menyegerakan pemeteraian Projek Air Perak Pulau Pinang yang ditunggu-tunggu sejak 2011 lagi.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata projek itu perlu dilaksanakan kerana ia bukan saja akan memanfaatkan Pulau Pinang, tetapi juga negeri lain di utara semenanjung, di samping menjadi Pelan Kontigensi Air Pulau Pinang 2030 untuk meningkatkan bekalan air kepada 602 juta liter sehari.
"Saya percaya pada peringkat ini ada banyak perbincangan teknikal sedang berlaku dan mungkin pihak-pihak berkenaan belum sedia untuk mengumumkan bila projek itu akan dilaksanakan.
"Nmun saya minta supaya perjanjian bagi projek itu dapat segera dimeterai, dan dilaksanakan tahun ini juga," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pembukaan bagi 'Pioneer the Possible- Green Production Forum' di Penang Institute di sini, pada Jumaat.
Chow berkata buat masa ini kerajaan negeri masih menunggu perkembangan selanjutnya mengenai projek itu memandangkan Pulau Pinang hanyalah pihak penerima.
"Projek pun bukan berlaku dalam negeri Pinang Pinang kerana kebanyakan dan sebahagian besar melibatkan rundingan dengan kerajaan negeri Perak dan saya percaya ia sedang dilakukan.
"Di peringkat Pulau Pinang kita akan terlibat dengan rundingan komersial seperti harga tarif, berapakah jumlah air yang diperlukan, tempoh kontrak dan sebagainya," katanya.
Pada 3 Jan lepas, Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata Projek Air Perak Pulau Pinang dijangka tidak dapat dilakukan tahun ini kerana perlu menunggu peruntukan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bagi pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) di daerah Kerian, Perak selain menyelesaikan terlebih dahulu proses berkaitan bekalan air terawat antara kedua-dua negeri.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan ke Pulau Pinang pada 16 Feb lepas pula memberitahu kerajaan Persekutuan akan menyegerakan projek Air Perak Pulau Pinang selepas mengumumkan untuk membangunkan Kerian Hi-Tech, yang turut akan membawa limpahan pelaburan dan pembangunan ekonomi ke Seberang Perai Selatan (SPS) termasuk di Sungai Acheh.
Sementara itu berkenaan pembenihan awan Chow berkata Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan terus memantau keperluan untuk melaksanakan pembenihan awan sekali lagi memandangkan dua proses yang dilakukan sebelum ini gagal membawa hujan.
"Pembenihan awan bukan jaminan akan hujan, jadi kita masih harapkan hujan semula jadi. Sekiranya tak perlu maka (pembenihan awan) tidak akan dilanjutkan," katanya.
-- BERNAMA