Harap peneroka bersabar - Yang di-Pertuan Agong

Bernama
Mei 31, 2019 22:13 MYT
Al-Sultan Abdullah bertitah menasihatkan peneroka Felda untuk bersabar dalam menghadapi kemelut kejatuhan harga komoditi itu. -Gambar fail
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah menasihatkan peneroka Felda untuk bersabar dalam menghadapi kemelut kejatuhan harga komoditi itu.
Baginda bertitah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sedang berusaha untuk mencari alternatif bagi meningkatkan sumber hasil peneroka yang terkesan ekoran harga komoditi itu adalah berdasarkan kepada keadaan ekonomi dunia.
"Saya dapat merasai kedudukan masyarakat di Felda. Saya percaya dan yakin jika semua pihak ada pemikiran yang positif, hati yang sabar dan beri kepercayaan kepada kerajaan baharu untuk membetulkan kekurangan yang ada dengan secepat dan sebaik mungkin.
"Harga kelapa sawit ini tidak tertakluk kepada kerajaan semata-mata tetapi tertakluk kepada ekonomi global. Tapi ia tak bermakna kita harus berpeluk dada kerana kita harus mencari jalan dan inisiatif baharu.
"Semua pihak harus berusaha supaya dapat mengembalikan semula identiti, status dan kesejahteraan penduduk Felda seperti sediakala dan kalau boleh, lebih baik daripada sebelumnya," titah baginda di sini, hari ini.
Sultan Abdullah bertitah demikian selepas berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama-sama Rakyat Daerah Maran di Masjid Jamek Felda Jengka 5 di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang.
Sultan Abdullah dalam ucapannya juga menzahirkan terima kasih kepada semua rakyat yang sudi mengadakan solat hajat kepada Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah (semasa gering) dan mendoakan Almarhum.
"Tiada kata yang dapat saya balas.., terima kasih saya ucapkan mewakili keluarga saya untuk semua," titah baginda.
Baginda seterusnya bertitah supaya rakyat mengambil kesempatan untuk merayakan Aidilfitri dengan semangat silaturahim yang baik dan melupakan perbezaan yang ada termasuk perbezaan politik.
-- BERNAMA
#Al-Sultan Abdullah #kejatuhan harga komoditi #kerajaan Persekutuan #peneroka Felda #sumber hasil peneroka #Yang di-Pertuan Agong
;