Harap pemilihan semula PKR berjalan lancar dan JPP telus - Maktar Shapee
Astro Awani
Mei 9, 2014 18:31 MYT
Mei 9, 2014 18:31 MYT
Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Parti Keadilan Rakyat digesa bersikap lebih telus dan memberi maklumbalas segera berhubung pemilihan semula parti itu khususnya di cabang Nibong Tebal.
Penyandang jawatan Ketua Cabang berkenaan, Datuk Maktar Shapee berkata beliau kesal dengan insiden pembatalan keputusan pemilihan cabang itu yang didakwa terlebih undi dan berharap pemilihan semula yang bakal diadakan kelak berjalan lancar dalam suasana yang lebih profesional dan matang.
Maktar berkata, kekecohan akibat perang mulut dan rasa tidak puas hati menyebabkan keharmonian sesama ahli terjejas dan berharap kejadian itu tidak berulang kembali.
“Kita harap begitulah, sudah penat dan harap ada petugas yang lebih cekap dan mencukupi. Ini beberapa orang sahaja, tiga orang sahaja dan keadaan sememangnya tidak terkawal dan kita akan bantu untuk menyusun.”
Maktar yang juga ahli Dewan Undangan (ADUN) Sungai Bakap berkata, ekoran insiden itu Ahad lalu, pihaknya telah menghantar surat kepada JPP PKR pada Isnin dan berharap reaksi segera diberikan kerana banyak persiapan perlu dibuat untuk pemilihan semula .
Dalam pemilihan bahagian berkenaan, Maktar yang juga penyokong kem Datuk Saifudin Nasution dilihat sebagai calon pilihan untuk mempertahankan jawatannya berbanding pencabarnya, Datuk Dr. Mansor Othman yang mendapat sokongan Azmin Ali.
Bagaimanapun ketika keputusan diumumkan, suasana bertukar kecoh apabila timbul dakwaan kertas undi yang dikeluarkan 'terlebih' iaitu sebanyak 838 berbanding senarai daftar hanya 672 orang.
Akibatnya, berlaku insiden bertikam lidah malah ada yang bertindak menendang kerusi kerana tidak berpuas hati dengan perkara itu.
Mengulas lanjut mengenai surat yang dihantar, Maktar berkata, beliau telah mencadangkan tarikh pemilihan semula diadakan pada 25 Mei depan bertempat di tempat baharu iaitu Dewan Serbaguna Nibong Tebal.
Katanya, ahli PKR yang layak mengundi seramai 3,692 orang namun jumlah yang hadir pada pemilihan Ahad lalu hanya 672 ahli sahaja.
Biarpun berdepan dengan kekangan dan kemungkinan kekurangan ahli namun pihaknya akan terus berusaha berkempen mencari ahli yang layak mengundi.
Datuk Maktar berkata demikian selepas mesyuarat cawangan berkenaan di pejabat PKR cabang Nibong Tebal malam tadi bagi memberi penerangan kepada penyokongnya tentang kekecohan yang berlaku Ahad lalu.