'Harap itu bukan Bella' - Keluarga

Sinar Harian
Januari 19, 2024 22:22 MYT
Norhisham (kiri) dan ibu Bella, Noraini beradi di lokasi penemuan mayat di Kampung Batu 7, Tongkang Pecah. - Gambar Sinar Harian
BATU PAHAT: Keluarga berharap rangka tidak sempurna yang dijumpai dalam rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, bukan ibu tunggal Mila Sharmila Samsusah, 32 atau Bella yang dilaporkan hilang sejak 14 Disember.
Kakak kepada Bella, Norhisham, 36, berkata, sebaik sahaja diberitahu tentang penemuan mayat terbabit pada petang Jumaat, gerak hatinya kuat menyatakan itu bukan Bella.
"Kami berharap rangka yang ditemui itu bukan adik saya yang dilaporkan hilang," katanya ketika ditemui di lokasi penemuan rangka manusia di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah pada malam Jumaat.
Norhisham bagaimanapun tetap reda jika rangka itu adalah Bella dan berharap hukuman setimpal dikenakan kepada pesalah.
"Dua minggu lepas, polis sudah mengambil DNA, tisu mulut saya dan ibu. Kami diberitahu untuk simpanan pihak polis.
"Kami juga minta agar ujian DNA ke atas rangka yang ditemui ini dapat disegerakan untuk mengetahui adakah ia Bella atau sebaliknya," katanya.
Pada 14 Disember tahun lalu, ibu tunggal dua anak itu gagal dihubungi selepas hilang keluar rumah menaiki kereta teman lelakinya pada jam 11.50 malam, dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap, untuk mencuci pakaian di kedai dobi.
Bagaimanapun, selepas tarikh itu dan sehingga kini, kelibat wanita terbabit terus hilang dengan telefon bimbitnya juga gagal dihubungi, selain mesej dihantar menerusi aplikasi WhatsApp hanya menunjukkan satu tanda saja.
Kronologi kehilangan Bella
16 Disember 2023 - Laporan polis pertama berhubung kehilangan Bella dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat oleh keluarga Bella
18 Disember 2023 - Laporan polis kedua mengenai kehilangan Bella dibuat oleh ahli keluarganya di IPD Batu Pahat
23 Disember 2023 - Polis memanggil lima individu termasuk teman lelaki Bella untuk membantu siasatan dengan kes masih diklasifikasikan sebagai orang hilang. Polis juga merekodkan keterangan daripada teman lelaki Bella sebanyak dua kali.
10 Januari 2024 - Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan dua lagi individu ditahan bagi membantu kes kehilangan Bella. - Sinar Harian
#laporan polis #rumah sewa #Bella #hukuman setimpal
;