Haram plastik sukar kitar semula, pinda akta - MESTECC
Harits Asyraf Hasnan
Oktober 16, 2018 11:17 MYT
Oktober 16, 2018 11:17 MYT
Kerajaan komited untuk mengharamkan penggunaan plastik yang tidak boleh dikitar semula dengan baik.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin berkata pihaknya juga bercadang untuk meminda Akta Alam Sekeliling 1974.
“Kementerian ini akan memastikan bahawa setiap sisa yang tidak boleh dikitar semula dengan baik dan mengikuti undang-undang alam sekitar dan sekeliling akan diharamkan di Malaysia.
“Kita sekarang dalam proses semak semula Akta Alam Sekeliling 1974 dan akan membentangkan draf tahun depan,” katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) yang bertanyakan langkah yang diambil kerajaan untuk menangani isu lambakan plastik.
Bee Yin pada masa sama mengajak ahli-ahli Parlimen untuk mengemukakan pandangan bagi pindaan akta tersebut.
Sampah plastik seperti botol soda, pembungkus makanan dan beg plastik dihantar ke China untuk dikitar semula bagi menghasilkan barangan plastik.
Bagaimanapun, pada awal tahun ini, negara tembok besar itu berhenti mengimport sampah plastik atas faktor kebimbangan terhadap alam sekitar di negara tersebut.
Larangan yang dilakukan China itu berkuat kuasa pada 31 Disember 2017, sekali gus menyebabkan jumlahnya menjadi semakin buruk.
Polisi baharu itu juga akan menyebabkan kira-kira 111 juta tan metrik sisa plastik dipindahkan ke lokasi pelupusan sampah lain menjelang tahun 2030.
#Akta Alam Sekeliling
#China
#Dewan Rakyat
#kerajaan
#kitar semula
#MESTECC
#Siti Zailah Mohd Yusoff
#Yeo Bee Yin