Haram pinjam wang daripada along - Pendakwah

Hasimi Muhamad
Mac 24, 2021 18:02 MYT
Jumlah peminjam yang memohon untuk mendapatkan pinjaman berlesen dan secara haram dalam negara meningkat 15 kali ganda berbanding sebelum Perintah Kawalanm Pergerakan (PKP). - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Aktiviti meminjam wang dengan syarikat peminjam tidak berlesen atau along adalah haram di sisi agama Islam.
Personaliti dan pendakwah bebas, Zamri Mantop berkata, Islam amat mengalakkan untuk menghulurkan bantuan termasuk memberi pinjaman atau menghutangkan sesuatu kepada mereka yang dalam kesempitan.
Bagaimanapun, pemberi hutang tidak boleh meraih sebarang keuntungan daripada penghutang, tegas beliau.
"Syarat untuk meminjam ialah akad meminjam iaitu memulangkan sama sepertimana amaun yang dipinjam tanpa ada sebarang hint (bayangan) untuk membayar lebih atau sebagainya.
"Kalau misalnya orang itu (peminjam) nak bayar lebih dengan rela hati ia dipanggil qardhul hassan, membalas jasa dia memberikan hutang dengan kita memberikan sedikit imbuhan tanpa dia minta, sebaliknya atas kerelaan hati, itu dibenarkan.
"Namun, mana-mana pinjaman yang ada membayar lebih sedikit walaupun satu sen, itu diharamkan di dalam Islam (kerana itu) termasuk di dalam cabang-cabang riba," katanya dalam Forum Webinar Bahana Along Dan Scam Kewangan yang disiarkan secara langsung di Facebook Persatuan Institusi-Institusi Pembangunan Kewangan Malaysia (ADFIM), hari ini.
Turut menjadi panelis dalam forum tersebut ialah Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia (MACFE), Datuk Seri Akhbar Satar dan Ketua Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Cawangan Pulau Pinang, Nordin Abd Rahman.
Mengulas lanjut, beliau berkata, akad hutang penting dalam Islam untuk memberi kemudahan dan pertolongan kepada individu yang memerlukan.
Jelas Zamri lagi, peminjam beragama Islam tidak seharusnya menggunakan istilah 'terdesak' semata-mata mencari jalan mudah untuk mereka meminjam dengan along.
Sebaliknya, tegas beliau, istilah terdesak digambarkan sekiranya sesuatu perkara itu mengancam nyawa.
Justeru, katanya, individu yang benar-benar memerlukan bantuan dan layak seharusnya mendapatkan bantuan daripada pusat zakat di setiap negeri atau membuat pinjaman dengan institusi kewangan berdaftar.
"Jadi sebab itu kita tidak boleh mudah cakap terdesak sebab ukuran terdesak itu sampai (mengancam) nyawa. Itu sebab kita tengok Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 berkata rakyat Malaysia yang kesusahan ini sekurang-kurangnya jangan ada yang tiada makanan di meja untuk dimakan.
"Seperti mana kita tengok masa PKP, gelandangan pun diuruskan dengan baik supaya mereka tidak terlibat dengan COVID-19 dan dikumpulkan di satu tempat. Nak cari mereka yang tiada rumah pun sekarang dah payah.
"Ini menunjukkan prihatinnya rakyat kita (kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan) dalam menguruskan mereka yang betul-betul terdesak ini," katanya lagi.
Sementara berhubung sindiket Macau Scam pula, Zamri berkata, aktiviti itu juga haram memandangkan terdapat unsur-unsur penipuan sehingga menyebabkan mangsa terpedaya.
Media tempatan sebelum ini melaporkan jumlah peminjam yang memohon untuk mendapatkan pinjaman berlesen dan secara haram meningkat sebanyak 15 kali ganda berbanding sebelum PKP.
#Facebook #PPIM #Muhyiddin Yassin #Macau Scam #Pinjaman along #Peminjam tidak berlesen #Along haram #COVID-19 #PKP #meminjam wang #along
;