Harakah belum pecat Ketua Pengarang, cuma berbincang - Sumber
Irwan Muhammad Zain
Januari 8, 2015 17:22 MYT
Januari 8, 2015 17:22 MYT
Lembaga Pengarah Harakah belum menamatkan khidmat Ketua Pengarangnya, Ahmad Lutfi Othman seperti yang digembar-gemburkan setengah pihak.
Sumber dalaman Harakah memberitahu Astro AWANI, pihak lembaga pengarah lidah rasmi PAS itu cuma berbincang dengan Ahmad Lutfi mengenai kedudukannya di akhbar tersebut.
Kata sumber tersebut, Lembaga Pengarah Harakah tidak bertindak zalim seperti mana yang digambarkan oleh pihak-pihak tertentu.
"Lembaga Pengarah Harakah berpandangan ada kewajaran untuk Ahmad Lutfi tidak meneruskan tugasnya kerana masalah kesihatan yang dihadapinya.
"Ahmad Lutfi sudah agak lama tidak hadir ke pejabat dan ini menganggu banyak urusan hingga ada kakitangan yang merungut.
"Tugas ketua pengarang bukan hanya ketika hari deadline tapi melibatkan juga pengurusan selain tugas-tugas lain.
"Mereka (Lembaga Pengarah Harakah) akan memastikan pendapatan bulanan Ahmad Lutfi tetap terjaga dengan sebahagiannya ditanggung oleh Perkeso dan sebahagian lagi oleh Harakah.
"Ahmad Lutfi akan terus diminta menulis di Harakah dan akan dibayar bukan mengikut artikel seperti penulis lain tetapi gaji bulanan sebagai penulis," kata sumber tersebut.
Sumber tersebut juga menjelaskan, keputusan menamatkan khidmat seorang lagi pengarang Harakah, Roslan Hamid dibuat atas faktor Harakah mahu mengecilkan operasinya.
Katanya, Harakah juga tidak memecat Tarmizi Md Jam, sebaliknya Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Batu itu telah tamat kontrak beberapa bulan lalu.
"Tarmizi tidak disambung kontrak bukan dipecat seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu dan dengan jawatan sebagai NYDP Kawasan Batu ada berlaku conflict of interest.
"Harus difahami ini adalah business decision bukan ada kena mengena dengan campur tangan politik," katanya.