Hapuskan stigma tentang kesihatan, gangguan mental - Lam Thye

Bernama
Julai 19, 2018 05:39 MYT
Lee berkata masih banyak orang yang tidak dapat membezakan antara masalah kesihatan mental dengan sakit jiwa. - Gambar fail
Rakyat Malaysia perlu mengikis stigma sosial terhadap mereka yang menghidap masalah kesihatan mental tetapi sebaliknya perlu meningkatkan pemahaman mengenai kesihatan mental.
Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Tan Sri Lee Lam Thye berkata mewujudkan tanggapan negatif tersebut bukan sahaja tidak memberi manfaat malah menyekat golongan itu daripada mendapatkan rawatan.
"Perbuatan mewujudkan stigma bukan sahaja memberi kesan kepada individu yang menderita malah melunturkan semangat keluarga untuk memberi sokongan fizikal dan emosi kepada mereka yang terjejas.
"Justeru, perbuatan menimbulkan prasangka akan mewujudkan halangan besar bagi mereka untuk mendapatkan rawatan sewajarnya," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Perubatan Psikologi Malaysia (MCPM) ke-22, di sini pada Khamis.
Menurutnya, salah satu faktor wujudnya stigma tersebut dalam kalangan rakyat adalah susulan pendedahan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa jumlah penduduk Malaysia yang mempunyai isu kesihatan mental meningkatkan tiga kali ganda dalam tempoh dua dekad lalu.
Lee berkata masih banyak orang yang tidak dapat membezakan antara masalah kesihatan mental dengan sakit jiwa.
"Keadaan pertama mempunyai gejala stres berkala, manakala yang kedua pula melibatkan gangguan mental secara serius seperti skizofrenia dan gangguan dwikutub," katanya.
Menurut beliau, mekanisme penyaringan berkesan juga memainkan peranan penting di mana ahli profesional boleh membantu dalam mengenal pasti kemungkinan seseorang individu menderita akibat penyakit mental tertentu.
Di samping itu, semua pemegang kepentingan perlu memberi sokongan kepada program kesihatan mental komuniti sedia ada bagi memupuk kesihatan mental dalam kalangan anggota masyarakat, katanya.
Persidangan tiga hari itu diadakan untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik masyarakat tentang isu berkaitan kesihatan mental.
-- BERNAMA
#kesihatan #Lee Lam Thye #Malaysia #mental #peningkatan kes #Persatuan Psikiatri Malaysia #perubatan #prasangka #rakyat Malaysia #sakit jiwa #skizofrenia #stigma sosial #stres #WHO
;