Hapuskan sistem monopoli beras oleh Bernas - Chieng Jen
Astro Awani
Jun 10, 2018 17:43 MYT
Jun 10, 2018 17:43 MYT
Pengguna di negara ini akan menikmati harga beras lebih murah apabila dasar monopoli ke atas pengimportan beras oleh syarikat Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dihapuskan.
Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, amalan monopoli yang sekian lama dipraktik Bernas harus diubah mulai sekarang.
"Isu harga beras tinggi bukan sahaja dihadapi peniaga di Sarawak malah di Sabah dan Semenanjung," katanya pada sidang media d Ibu Pejabat DAP Sarawak di sini hari ini.
Jelasnya, hak mengimport beras perlu diubah kepada sistem pasaran terbuka bagi memberi peluang sekata kepada peniaga yang mempunyai permit.
"Justeru, penting pelaksanaan sistem monopoli itu ditukar kepada sistem pasaran terbuka," katanya sambil menambah kementerian perlu ambil tindakan untuk mengubah dasar yang diamalkan selama ini kepada pasaran secara terbuka menerusi permit untuk mengimport beras.
Kata Ahli Parlimen Stampin itu, langkah berkenaan memberi manfaat peniaga malah memberi kelebihan kepada pengguna menikmati kadar harga lebih rendah dan berbaloi.
Chieng Jen berkata, anggaran keuntungan kasar Bernas setahun mencecah RM104.4 juta hasil daripada penggunaan beras putih dan beras wangi di Sarawak sahaja.
#beras
#BERNAS
#Chong Chieng Jen
#monopoli
#monopoli beras
#Padiberas Nasional Bhd
#Pengerusi DAP Sarawak
#Sarawak