Hapuskan isu kartel, dua akta persaingan akan dipinda tahun depan - Rosol Wahid
Fareez Azman
Disember 13, 2021 14:26 MYT
Disember 13, 2021 14:26 MYT
KUALA LUMPUR : Kerajaan akan meminda Akta Persaingan 2010 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 dalam memastikan tiada lagi kegiatan kartel serta monopoli berlaku dalam pasaran.
Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, pindaan akta itu akan dibawa ke Parlimen tahun depan.
"(Pindaan) Akta Persaingan 2010 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 telah lama dibincang. Perkara ini adalah penting untuk Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) melengkapkan pegawai-pegawai dengan kuasa diperluaskan bagi menangani isu persaingan lebih berkesan dan cekap, yang sesuai dengan lanskap ekonomi yang sentiasa berubah.
"MyCC dalam proses meminda kedua-dua akta ini yang juga satu usaha dilaksanakan sejak dua tahun lalu dalam memperluaskan kuasa MyCC," jelasnya.
Tambah Rosol, usaha itu sekali gus mengurangkan isu kartel dalam sektor perniagaan.
"Sekarang ini dah hujung tahun, kita dah bentang tiga Rang Undang-Undang (RUU), kita yakin (akan bentang pindaan Akta) tahun depan.
"(Usaha ini) bermula 2021 dan akan sambung tahun depan, kita akan bentang.Dengan usaha ini, kita dapat menarik pelaburan lebih yakin dengan negara kita.
"Apabila akta persaingan diimplementasi, kita berada dalam persaingan sihat.. tak ada orang kartel-kartel," ujarnya lagi.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pelan Strategik Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) 2021-2025 di ibu negara pada Isnin.
Turut hadir dalam majlis itu, Pengerusi Suruhanjaya Pesaingan Malaysia (MyCC), Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail.