Hapus subsidi gula, peniaga minuman ambil sikap 'tunggu dan lihat'

Azyyati Ahmad
Oktober 27, 2013 08:30 MYT
Tinjauan di kedai-kedai makan sekitar Lembah Klang mendapati, rata-rata peniaga yang ditemui belum lagi menaikkan harga minuman sebaliknya mengambil sikap 'tunggu dan lihat'
Jangkaan kenaikan harga minuman adalah susulan pemansuhan subsidi gula oleh kerajaan yang berkuatkuasa 26 Oktober seperti yang dibentangkan dalam Bajet 2014.
Namun begitu, ramai di kalangan peniaga yang ditemui berkata kemungkinan harga minuman akan mula dinaikkan sekitar minggu ini.
“Setakat ini tiada arahan dari bos, tetapi mungkin harga akan dinaikkan minggu ini” menurut pengurus sebuah kedai makan yang mahu dikenali sebagai Mogesh ketika ditemui Astro AWANI.
Seorang lagi pengusaha kedai makan, Mishah Mari menyatakan yang beliau tidak sampai hati menaikkan harga ketika ini kerana sebarang kenaikan harga minuman bakal mengundang rasa kurang senang dari pelanggannya.
“Takut orang marah kalau harga naik, tapi nak buat macam mana harga gula naik tinggi” jelasnya lagi.
Kebanyakkan peniaga yang sempat ditemubual berkata harga minuman akan dinaikkan sebanyak 10 sen dari harga asal.
Sementara itu menurut seorang pengurus pemasaran produk minuman terkemuka negara, Tee Yeo Loon, produk minuman yang dikilangkan tidak akan mengalami kenaikan harga susulan penghapusan subsidi gula itu.
"Subsidi gula memang sudah lama dimansuhkan oleh kerajaan untuk pengilang dan pengeluar produk minuman. Pihak pengeluar tidak terkesan kerana selama ini membeli gula dengan harga pasaran bukan harga subsidi.
Kenaikkan harga produk boleh terjadi jika ada kenaikan harga untuk bahan mentah import, material bungkusan atau harga minyak dan bukan disebabkan gula" terangnya lagi.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata kenaikan harga gula pasti akan memberi kesan ke atas barangan lain.
“Kesan ke atas harga gula itu tidaklah banyak rasanya, tetapi apa yang kita bimbangkan ialah perkara ini akan mengakibatkan harga minuman akan meningkat.
“Ini akan mengakibatkan banyak harga barangan yang menggunakan bahan asas ini juga akan naik dan perbelanjaan rakyat sekaligus akan terjejas” tegasnya lagi.
Selain itu, pembaca Astro AWANI di Facebook turut meluahkan rasa bimbang ekoran kenaikkan harga gula ini.
Najib Nordin menyeru rakyat untuk bersiap sedia menerima kesan kenaikkan harga.
“Bersiaplah kita dengan rantaian kesan kenaikan”
Ami Azmi pula berkata yang kesan kenaikan harga gula ini bakal menyebabkan harga minuman naik.
“Gula naik, air di kedai pun mesti naik”
Yang Farina Abdul Aziz pula memberikan komen positif agar orang ramai mengurangkan penggunaan gula.
“Kurangkan gula dalam diet. Gaya hidup sihat. Insyallah”
Harga gula untuk pengguna dinaikkan daripada RM2.50 sekilogram kepada RM2.84 sekilogram bermula Sabtu.
#Bajet 2014 #harga gula #Mohd Yusof Abdul Rahman #Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan #subsidi gula
;