Hapus nama bangsa dalam borang: Lee Lam Thye setuju cadangan Joseph Kurup

Irwan Muhammad Zain
Februari 22, 2014 17:05 MYT
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye. --Gambar Fail
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye secara peribadi bersetuju dengan pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup yang berpendapat nama bangsa dalam borang di negara ini perlu dihapuskan.
Lam Thye berkata pandangan yang dikemukan menteri dari Sabah itu akan dibincangkan oleh jawatankuasa Dialog Perpaduan: Suara Akar Umbi sebaik saja selesai semua 18 sesi diadakan.
"Secara peribadi saya bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan oleh Tan Sri Joseph Kurup dan saya juga pernah menyatakan pandangan yang sama sebelum ini.
"Tetapi itu merupakan pandangan peribadi saya, apa yang dikatakan oleh Tan Sri Joseph Kurup itu akan dibincangkan oleh jawatankuasa dialog perpaduan selepas ini, selepas tamat semua sesi dialog," katanya kepada pemberita selepas tamat sesi Dialog Perpaduan: Suara Akar Umbi di Dewan Bahasa dan Pustaka, di sini, hari ini.
Ketika menyampaikan ucapan perasmian Dialog Perpaduan: Suara Akar Umbi, Joseph menyatakan sudah tiba masanya untuk menghapuskan keperluan menamakan bangsa dalam sebarang borang dalam negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup.
"Selepas 50 tahun penubuhan Malaysia, sedihnya kita masih dipisahkan dengan identiti kaum dan agama.
"Mungkin sudah tiba masa untuk menghapuskan keperluan menamakan bangsa kita dalam sebarang borang dalam negara ini," katanya.
#bangsa #borang #Dialog perpaduan #Joseph Kurup #Lee Lam Thye #Suara Akar Umbi
;