Hapus GST, jual 1MDB antara cadangan bajet alternatif Pakatan Harapan
Harits Asyraf Hasnan, Hafiz Marzukhi
Oktober 21, 2015 15:06 MYT
Oktober 21, 2015 15:06 MYT
Seperti diramalkan, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) antara yang akan dihapuskan dalam Bajet Alternatif 2016 Pakatan Harapan.
Bajet Alternatif itu juga mencadangkan agar tempoh perkhidmatan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dilanjutkan dua tahun lagi dalam usaha memulihkan keyakinan pelabur.
Selain itu, Pakatan Harapan turut mensasarkan untuk meletakkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di bawah pengurusan dan membawa semua yang terlibat ke muka pengadilan.
Secara tidak langsung, ia bermakna Pakatan akan menutup 1MDB dan menjual segala aset miliknya.
Secara keseluruhannya, Bajet Alternatif Pakatan yang dibentangkan mencatatkan defisit RM30 bilion atas perolehan RM208 bilion.
Ketika mengumumkan bajet berkenaan, Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, bajet itu dibuat bagi mengurangkan penderitaan rakyat.
''Kami tidak mahu rakyat menderita hanya kerana kerajaan yang tidak efisien,'' katanya.