Happy Hikers Malaysia anjur pendakian Gunung Datuk 29 Julai

Fareez Azman
Julai 16, 2023 07:00 MYT
Happy Hikers Malaysia menganjurkan pendakian secara berkumpulan di Gunung Datuk pada 29 Julai ini. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mendaki Gunung Datuk sambil menikmati keindahan hutan semula jadi di Kota, Rembau, Negeri Sembilan sudah tentu mengujakan setiap pendaki.
Kali ini, berita baik buat pencinta pengembaraan apabila kumpulan peminat aktiviti lasak, Happy Hikers Malaysia menganjurkan pendakian secara berkumpulan di Gunung Datuk pada 29 Julai ini.
Menurut pengasasnya, Stanley Pang, program pendakian dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat swasta itu bertujuan memberikan peserta pengalaman yang tidak dapat dilupakan dengan pemandangan yang menakjubkan termasuk formasi batu yang unik, dan pelbagai jenis flora dan fauna.
Setiap peserta jelasnya akan melalui trek pendakian sejauh 3.7 kilometer di sepanjang Hutan Rekreasi Gunung Datuk.
"Kami sangat gembira untuk bekerjasama dengan organisasi-organisasi terkemuka ini dan penaja acara kami, Bactakleen.
“Bersama-sama, kami mahu mewujudkan sebuah komuniti peminat aktiviti luar yang bukan sahaja meneroka laluan-laluan mendaki yang menakjubkan tetapi juga mempromosikan kesejahteraan fizikal, pemeliharaan alam sekitar, dan kebahagiaan peribadi di alam terbuka,” jelasnya.
Tambahnya, peserta akan berkumpul di kawasan parkir Gunung Datuk, Kampung Api-Api seawal jam 7 pagi sebelum memulakan pendakian dengan bimbingan pemandu profesional.
“Sepanjang perjalanan, mereka akan menghadapi pelbagai cabaran dan ganjaran, seperti cerun yang curam, jalan batu, dan pemandangan indah.
“Di puncak Gunung Datuk, mereka akan disajikan dengan pemandangan 360 darjah yang memukau laut Selat Melaka, mencipta suasana yang sempurna untuk mengabadikan kenangan yang tidak dapat dilupakan,” katanya lagi.
Sementara itu, bagi Presiden JCI Entrepreneur Metropolitan KL, Steven Chin berkata selain mencabar fizikal dan mental setiap pendaki, program itu juga boleh memupuk semangat perpaduan sesama rakyat.
"Kami bangga untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif ini yang menggalakkan individu untuk mencabar diri mereka secara fizikal dan mental.
“Bergabung tenaga dengan Happy Hikers Malaysia, kami mahu menimbulkan semangat persaudaraan, pertumbuhan peribadi, dan penglibatan komuniti di kalangan peserta,” katanya.
Katanya, pendaki yang berminat boleh melayari Facebook Happy Hikers Malaysia untuk menempah tempat.
#Gunung Datuk #Happy Hikers Malaysia #pendakian berkumpulan #Negeri Sembilan
;