Hanyut 14 jam, empat pemancing berjaya diselamatkan
Ruzaini Zulkepli
Disember 11, 2017 14:40 MYT
Disember 11, 2017 14:40 MYT
Empat pemancing berdepan dengan detik cemas selepas terapung lebih 14 jam di lautan apabila bot dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin.
Bagaimanapun, mereka berjaya diselamatkan oleh sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Labuan, di perairan Tanjung Kubung, dekat sini, petang Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang, kesemua mangsa – Amir Ahmad Astor, 33, Wilfred Balang Singa, 38, Jamhari Bujang, 54, dan Charlie M. Yusoff, 62, berjaya ditemukan dengan keadaan selamat dan keletihan di perairan Pulau Tiga di Sabah.
Menurut Timbalan Pengarah (Operasi) Daerah, Komander Maritim Nor Bakari Abu Bakar berkata, semua mangsa difahamkan keluar memancing dari Pohon Batu Labuan pada jam 4.10 petang Sabtu lalu. Namun, bot mereka mengalami masalah teknikal sekitar 10.30 malam akibat arus deras dan menyebabkan mereka hanyut.
Beliau berkata, APMM Daerah Maritim Labuan menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11 pagi semalam sebelum sepasukan anggota dikerahkan menjalankan operasi mencari dan menyelamat di perairan berkenaan.
"Sejurus menerima panggilan kecemasan itu, kita mengarahkan sebuah bot peronda untuk mencari semua mangsa namun keadaan laut yang bergelora memaksa anggota bertugas berpatah balik ke Jeti APMM Labuan. Operasi diteruskan semula dengan menggunakan sebuah kapal peronda maritim.
"Usaha carilamat itu akhirnya berjaya selepas kita berjaya menemui sebuah bot berwarna biru putih sedang terapung bersama empat pemancing itu di kedudukan kira-kira 15 batu nautika utara dari Tanjung Kubung, Labuan pada jam 6.50 petang semalam," katanya di sini, hari ini.
Nor Bakari berkata, hasil temu bual dengan salah seorang mangsa mendapati mereka keluar ke laut untuk memancing pada 9 Dis lalu di perairan Pulau Tiga.
"Ketika memancing, bot mereka hanyut disebabkan hujan lebat dan ombak besar dan memaksa mereka untuk melabuhkan sauh bagi mengelakkan daripada hanyut jauh ke tengah laut.
"Namun, tali yang mengikat pada sauh tersebut putus dan mereka mengambil keputusan untuk pulang ke Labuan pada 6 pagi semalam.
"Dalam perjalanan pulang ke Labuan, engin bot tiba-tiba rosak dan menyebabkan bot hanyut sehinggalah mereka ditemui oleh kapal peronda maritim," katanya.
Tambahnya, pihaknya turut melakukan operasi menunda bot pancing berkenaan namun gagal apabila bot terbabit tenggelam ketika proses penundaan.
Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Nukleus Labuan untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil.