Hanya yang layak, tak perlu bimbang kemasukan pelarian Rohingya ke IPT - Khaled
Siti Nur Aqilla Omar
Jun 22, 2023 14:41 MYT
Jun 22, 2023 14:41 MYT
PASIR GUDANG: Masyarakat tidak perlu takut dan bimbang dengan kemasukan pelarian Rohingya untuk melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan.
Ini kerana mereka tertakluk kepada syarat, program pengajian dan tempat yang terhad.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, situasi memasuki universiti bukan seperti berniaga di tepi jalan yang boleh dilakukan oleh semua orang.
Justeru katanya, persepsi masyarakat perlu diperbetulkan terhadap isu peluang pelarian Rohingya menyambung pengajian di IPT tempatan.
Ini kerana dengan pelajaran, etnik Rohingya ini diharap apabila keluar kelak akan membentuk dan mendidik masyarakat mereka sendiri.
"Tiada apa yang hendak ditakutkan, alangkah indahnya kita ini menjadikan mereka manusia (berguna), takkan kita tak ada dalam diri kita ini hendak jadikan mereka (pelarian Rohingya) berjaya, mereka Islam, mereka kalau balik akan dibunuh.
“Jadi kalau kita dapat bantu mereka berjaya, mereka boleh betulkan masyarakat mereka. Kalau kita tidak mulakan, mereka akan timbulkan masalah pada kita. Tidak ramai pun, (hanya) kalau mereka layak. Bukan kita pergi ambil semua masuk universiti. Habislah jika begitu, prestasi saya pun terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan kerja ke Politeknik Ibrahim Sultan di Pasir Gudang, Johor.
Kelmarin, penasihat KPT, Prof Emeritus Morshidi Sirat, dilaporkan berkata pelarian Rohingya yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi, akan dapat berbuat demikian tidak lama lagi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Peluang melanjutkan pengajian untuk pelarian itu akan dibiayai menerusi sumbangan dana Qatar untuk pembangunan yang diterima sebelum tahun 2020, berjumlah AS$50 juta (RM231 juta).