Hanya wakil syarikat perlu hadir ke balai untuk mohon permit - Ketua Polis Sibu
Astro Awani
Januari 27, 2021 19:56 MYT
Januari 27, 2021 19:56 MYT
SIBU: Hanya seorang wakil syarikat atau majikan yang perlu hadir ke balai polis di daerah Sibu untuk membuat permohonan bagi mendapatkan permit perjalanan kerja ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Gesaan itu dibuat Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit kerana bimbang balai-balai polis di daerah itu dikerumuni orang awam yang mahu memohon permit.
“Untuk syarikat swasta yang memohon untuk isu permit pergerakan, mereka cuma perlu membawa senarai pekerja dan dokumen berkaitan, bukan semua pekerjanya turun.
“Kita menerima maklumat bahawa ada beberapa syarikat yang pekerjanya semua ke balai untuk memohon permit dan itu tidak perlu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Stanley turut menegaskan bahawa tiada permohohan dalam talian akan dibuka bagi tujuan tersebut.
Ini jelasnya sebagai mematuhi garis panduan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak bagi membolehkan pihaknya meneliti setiap permohonan sebelum diluluskan.
“Berkenaan isu membuat permohonan secara dalam talian, sebenarnya kita tidak mendapat arahan untuk melaksanakan kaedah permohonan itu.
“Bagi mendapatkan permit, pemohon perlu hadir secara fizikal ke balai dan sesuatu permohonan itu akan diteliti sebaiknya sebelum permit dikeluarkan.
“Ini adalah arahan pihak JPBN Sarawak dan bukan semua permohonan yang dibuat mendapat kelulusan kerana setiap pemohon akan ditemu duga dan diteliti permohonannya,” tambah Stanley.
Selain itu, Stanley juga mengingatkan pihak majikan untuk tidak mempercayai khabar angin bahawa permohonan tidak boleh dibuat selepas 27 Januari 2021.
Untuk rekod, setakat semalam, polis Sibu telah mengeluarkan lebih 3,500 permit perjalanan kerja dan menolak 21 permohonan kerana tidak menepati syarat.
#PKP di Sibu
#COVID-19 di Sibu
#permit kerja PKP
#permohonan permit bersemuka
#SOP JPBN Sarawak
#Stanley Jonathan Ringgit
#PKP