Hanya ungkapan minta tolong dari ibu - Anak mangsa rentung
Astro Awani
Jun 7, 2021 15:41 MYT
Jun 7, 2021 15:41 MYT
KUALA TERENGGANU: Hanya ungkapan ‘tolong’ yang terkeluar daripada mulut seorang warga emas ketika menghubungi anaknya sebelum ditemui rentung dalam kebakaran di Kampung Losong Haji Su, di sini pada pagi Isnin.
Menurut anak mangsa, Zailah Jusoh, ibunya itu sempat membuat panggilan telefon sekitar jam 10.37 pagi dan dia sebaliknya menyangkakan sesuatu yang buruk telah menimpa ayahnya.
Kata Zaitah meskipun beberapa kali bertanya situasi sebenar hanya ayat meminta tolong yang terkeluar daripada mulut ibunya itu.
“Emak telefon minta tolong. Saya pun tanya sebab apa emak? Dia tidak beritahu hanya ungkapan tolong, tolong sahaja.
“Saya kata tidak apa mak, sabar saya akan pergi (rumah ibunya). Dalam perjalanan, adik diberitahu kawannya rumah mak terbakar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambah Zailah dia tidak putus-putus berdoa dan berharap agar tiada kejadian buruk menimpa orang tuanya memandangkan kedua-duanya sudah uzur.
Bagaimanapun sebaik tiba di kediaman itu hancur luluh hatinya apabila dimaklumkan emaknya masih berada di dalam dan kemudiannya diberitahu khabar sedih, ibunya telah meninggal dunia.
Terdahulu seorang wanita warga emas dilaporkan rentung manakala suaminya melecur dalam kebakaran membabitkan tiga buah rumah di Kampung Losong Haji Su, Kuala Terengganu pada pagi Isnin.
Dalam kebakaran kira-kira jam 10.35 pagi itu, mangsa, Fatimah Mohd, 79, maut selepas terperangkap manakala suaminya, Jusoh Muda, 82, yang melecur dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut.