Hanya tinggal 23 ekor Harimau Malaya di Hutan Belum dan Temengor

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 3, 2019 14:07 MYT
Majlis perasmian Sambutan Hari Harimau Sedunia di Dataran Inai, Gerik, Perak pada Sabtu disempurnakan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. - Foto Astro AWANI
Berdasarkan data kajian terakhir yang dijalankan menunjukkan terdapat hanya tinggal 23 ekor Harimau Malaya di Hutan Simpan Royal Belum dan Hutan Simpan Temengor di Gerik, Perak.
Bilangan itu susut lebih 60 peratus berbanding lebih 60 ekor yang ada pada enam atau tujuh tahun lalu.
Pengurus Besar Perbadanan Taman Negeri Perak, Mohamed Shah Redza Hussein berkata, ancaman utama Harimau Malaya ialah pemburuan haram, khususnya pemburu profesional dari negara-negara Indo-China seperti Vietnam, Laos dan Kemboja.
Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan untuk mempertahankan jumlah harimau yang ada dan membuat pemuliharaan supaya dapat menambah populasi haiwan yang menjadi lambang jata negara itu.
“Kalau kita tidak ambil apa-apa tindakan sekarang sudah pasti, ikut trajectory data, dalam masa dua tiga tahun kita akan ada kurang daripada 10 ekor.
“Jumlah populasi ini tidak mencukupi untuk membuat pembiakan harimau.
“Bermakna dalam masa enam ke tujuh tahun akan datang, kita akan hilang dan pupus harimau, terutamanya di Belum, Temengor,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis perasmian Sambutan Hari Harimau Sedunia di Dataran Inai, Gerik, Perak pada Sabtu yang disempurnakan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Menurut Shah Redza lagi, Perbadanan Taman Negeri Perak telah meningkatkan langkah pemantauan dan penguatkuasaan dengan menambah anggota rondaan dari 16 orang tahun lepas kepada 32 orang tahun ini.
“Walaupun ia melibatkan kekangan kewangan, kita berharap bilangan itu dapat ditambah menjadi sekurang-kurangnya 50 orang,” ujarnya.
Dalam masa sama, kempen kesedaran di kalangan penduduk setempat terus dijalankan supaya mereka membantu membenteras kegiatan pemburuan haram.
#haram #harimau Malaya #Harimau Malaysia #Hutan Simpan Royal Belum #Hutan Simpan Temengor #Mohamed Shah Redza Hussein #pemburu haram #Perbadanan Taman Negeri Perak #Raja Permaisuri Perak #Tuanku Zara Salim
;