Hanya tiga wanita 'ring lady' dari Kampung Semban masih hidup
Bernama
Disember 14, 2020 04:41 MYT
Disember 14, 2020 04:41 MYT
PADAWAN: Hanya tiga orang wanita yang memakai gelang tembaga atau dikenali dengan nama jolokan ring lady dari Kampung Semban, Ulu Padawan, berusia lingkungan 69 dan 94 tahun yang masih hidup dan bukannya lima seperti yang dilaporkan media, kata seorang daripada mereka, Peluk Abeh, 69.
"Sebenarnya kami berlima tetapi seorang tidak lagi memakai gelang tembaga dan seorang lagi (Ranyu Daiee, 83 tahun) meninggal dunia kerana sakit tua pada 3 Okt lepas," kata Peluk ketika ditemui di Majlis Perbandaran Padawan (MPP) sempena ulang tahun ke-24 dan pelancaran mural wanita gelang tembaga terakhir di Kota Padawan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini semalam.
Wanita kaum Bidayuh ini yang gigih mempertahankan warisan kaumnya dengan meneruskan tradisi memakai gelang pada bahagian lengan dan betis, sebenarnya berasal dari Kampung Semban di Ulu Padawan tetapi telah berpindah ke Skim Penempatan Semula Bengoh (SPSB) pada 2010 selepas perkampungan mereka dijadikan sebahagian kawasan Projek Empangan Bengoh.
Selepas berpindah ke SPSB mereka menjadi ahli popular Kumpulan Kebudayaan Kampung Semban yang memaparkan warisan budaya negeri dan Sarawak telah menjadi tumpuan semasa mereka mengadakan persembahan di festival antarabangsa Orang Asli dan suku kaum, Lo Spirito Del Pianeta di Milan, Itali pada 2016.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata wanita bergelang tembaga itu telah dijemput membuat persembahan di ITB (Internationale Tourismus-Borse) Berlin, iaitu mart pelancongan antarabangsa terbesar di dunia, tahun lalu selain sering dijemput membuat persembahan di acara-acara negeri dan kebangsaan.
Abdul Karim berkata idea untuk menghasilkan seni mural itu ekoran tayangan perdana dokumentari Sarawak, The Last Ring, yang disiarkan di saluran penyiaran antarabangsa iaitu NHK (Jepun), KBS (Korea) dan PTS (Taiwan) sejak Ogos 2019. Dokumentari ini juga turut ditayangkan di TVS Sarawak pada 4 Nov tahun ini.
Dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Majlis Perbandaran Padawan, NG Picture dan Dian Kiara Sdn Bhd, projek mural setinggi 36.5 meter itu siap sepenuhnya pada 30 Sept merupakan mural terbesar di Kuching.
Mural itu menampilkan wanita gelang tembaga dari Kampung Semban yang berpakaian tradisional dengan dihiasi aksesori gelang tembaga dipanggil ruyang (sebutan luyang) bagi gelang tangan dan rasung (sebutan lasung) untuk gelang kaki, iaitu budaya suku bi’embhan (iaitu sebahagian daripada kaum Bidayuh dari Ulu Bengoh) di Sarawak.
Pemakaian ruyang dan lasung menjadi idaman wanita Bidayuh dan dahulu, harganya adalah sangat mahal. Gegelung tembaga itu dipakai sejak mereka kanak-kanak.
Ia menjadi sebahagian daripada aksesori harian dan menjadi simbol kecantikan dan kebangsawanan. Pemakainya tidak boleh membuka gelang tembaga itu ketika mereka melakukan kerja-kerja harian. Asal usul amalan unik ini bermula sejak peniaga Cina membawa tembaga ini ke Borneo.
Pakaian tradisional wanita bergelang tembaga ini terdiri daripada Bulang Sebi (hiasan kepala), Tumbih (rantai), Kain Ngumban (selempang merah), Sisink’ng dan Wi (tali pinggang), Baju Putang (blaus) dan Jemuh Sulam (kain sarung/sket). Ia dikenali sebagai tradisi unik ‘Dayung Hmuai Semban’.
Pelukis tempatan Leonard Siaw yang diberi tanggungjawab untuk menghasilkan mural bertajuk, ‘Dayung Hmuai Semban’ atau The beautiful ladies of Semban mengambil masa 13 minggu untuk menyiapkan mural itu.
Abdul Karim berkata mural itu akan membantu mempromosikan pelancongan di Padawan kerana ia terletak di lokasi strategik, di dinding sebuah bangunan yang menghadap jalan utama Kuching-Serian yang berfungsi sebagai tanda mengalu-alukan ketibaan dan pintu masuk ke beberapa tarikan pelancongan popular di kawasan itu.
-- BERNAMA
#Ring Lady
#Peluk Abeh
#meninggal dunia
#wanita gelang tembaga
#persembahan antarabangsa
#pelancongan
#Mural
#Kampung Semban
#Ulu Padawan
#Bidayuh
#Sarawak
#SPSB
#Projek Empangan Bengoh
#Kumpulan Kebudayaan
#Abdul Karim Rahman Hamzah
#Majlis Perbandaran Padawan