Hanya tiga dilantik ke jawatan Profesor Ulung
Bernama
November 22, 2012 14:47 MYT
November 22, 2012 14:47 MYT
Persidangan Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa sehingga kini, hanya tiga orang yang memenuhi kriteria pemilihan telah dianugerahkan jawatan Profesor Ulung.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Hou Kok Chong berkata jawatan itu adalah satu penganugerahan berdasarkan meritokrasi di mana anggota terlibat dalam pentadbiran tidak mendapat apa-apa keistimewaan.
Bagaimanapun, katanya, anggota dalam pentadbiran seperti Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor dan Dekan yang mungkin dianugerahkan Profesor Ulung, wajar dilihat sebagai pengiktirafan terhadap kebolehan dan keupayaan mereka sebagai seorang ahli sarjana.
Ini adalah kerana Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor atau Dekan yang masih meneruskan aktiviti memberi syarahan dan menjalankan penyelidikan di universiti masing-masing.
"Memang KPT amat serius tentang pelantikan Profesor Ulung ini, dan amalan ini diguna pakai di semua universiti ternama dan terkemuka di seluruh dunia serta terbukti paling sesuai untuk kelestarian ekosistem pengajian tinggi," katanya ketika menjawab soalan tambahan Muhammad Husain (PAS-Pasir Puteh) di Dewan Rakyat pada Khamis.