Hanya sempat melaram empat hari dengan kereta mewah... Rupa-rupanya...

Salim Aziz
Oktober 11, 2019 20:26 MYT
Kebiasaannya kereta klon yang dirampas pihak Kastam lebih sinonim menggunakan nombor pendaftaran dari Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang. - Astro AWANI
Belum puas melaram dengan kereta mewah, seorang peniaga kosmetik berusia 43 tahun ‘berputih mata’ apabila kereta BMW 320-i yang baru dibeli empat hari lalu, rupa-rupanya kereta klon.
Pemilik memberikan alasan ‘tidak tahu’ kerana pembelian dibuat melalui orang tengah di Kuala Lumpur, pada Isnin lalu pada harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis, Shahrul Azhar Md Dali berkata, kenderaan itu ditahan dan disita dalam sekatan jalan raya bersama pihak Jabatan Kastam Perlis di Kilometer 26, berhampiran sempadan Kedah-Perlis, pada 11.15 malam Rabu.
Menurut JPJ, kebiasaannya kereta klon menggunakan nombor pendaftaran yang sama dengan kereta asal.
Namun kali ini, sindiket mengubah taktik dengan menggunakan nombor pendaftaran motosikal ‘kapcai’.
“Tapi yang ni, berdasarkan rekod kita, dia guna nombor pendaftaran motosikal. Dia tak berapa pintar,” ujar Shahrul Azhar.
Begitupun, wanita yang membeli kenderaan berkenaan dibebas dengan jaminan, sementara kereta terbabit disita mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.
Dalam perkembangan sama, Pengarah Kastam Perlis, Wan Nor Wan Mamat berkata, kebiasaannya kereta klon yang dirampas pihak Kastam lebih sinonim menggunakan nombor pendaftaran dari Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang.
Sepanjang empat hari Operasi Bersepadu melibatkan Jabatan Kastam dan JPJ negeri diadakan, sebanyak 90 notis saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen dan cukai jalan, selain menggunakan tayar yang tidak mengikut spesifikasi.
#JPJ #kastam #kereta klon #mangsa penipuan #mangsa wanita #nombor pendaftaran #sindiket kereta klon
;