Hanya Selangor, Pulau Pinang warta keputusan pengharaman merokok
Bernama
April 25, 2017 07:00 MYT
April 25, 2017 07:00 MYT
Hanya Selangor dan Pulau Pinang yang telah mewartakan keputusan pengharaman merokok di negeri masing-masing, setakat ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Selangor mengambil langkah tersebut pada 1995 manakala Pulau Pinang membuat keputusan itu pada 2004.
"Kedua-dua negeri itu mengambil langkah tersebut berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam pada 23 Mac 1995.
"Muzakarah itu telah membincangkan isu merokok daripada pandangan Islam dan telah bersetuju memutuskan merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana ia memudaratkan," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Diraja, pada Persidangan Dewan Negara pada Selasa.
Sehubungan itu, katanya, adalah menjadi tanggungjawab pihak-pihak berkaitan untuk memainkan peranan masing-masing supaya pandangan fatwa tersebut dipatuhi. -- BERNAMA
#Dewan Negara
#Jamil Khir Baharom
#Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan
#larangan merokok
#Muzakarah