Hanya segelintir salah guna lorong kecemasan - Bukit Aman
Bernama
Mei 1, 2022 23:29 MYT
Mei 1, 2022 23:29 MYT
TANJUNG MALIM: Terdapat segelintir sahaja pengguna jalan raya yang menggunakan lorong kecemasan sewaktu pemantauan di awal musim perayaan ini, kata Timbalan Pengarah (1) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain.
Beliau berkata hasil pemerhatian pihaknya, majoriti pengguna masih menunjukkan sikap bertanggungjawab mematuhi undang-undang ditetapkan ketika pemantauan di laluan lebuh raya dan jalan Persekutuan sewaktu pelaksanaan Op Selamat 18 sempena Aidilfitri sejak Jumaat.
"Walaupun ada (pemandu kenderaan) yang melanggar lorong kecemasan tetapi saya masih boleh nyatakan majoriti pengguna lalu lintas excellent (cemerlang), kerana yang memotong menggunakan lorong kecemasan semata-mata untuk sampai dengan cepat ke destinasi terlampau sedikit.
"Jadi, pengguna jalan raya masih lagi menghormati undang-undang dan mendengar nasihat daripada pihak polis," katanya kepada pemberita selepas melakukan Demo Unit Dron PGU dalam penugasan Op Selamat 18 di Plaza Tol Slim River Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini hari ini.
Mohd Nadzri berkata lokasi penggunaan dron berubah-ubah setiap hari sepanjang Op Selamat bagi merakam gambar kenderaan yang melakukan kesalahan lalu lintas.
"Kita juga berpandukan kepada keperluan Pasukan Gerakan Udara (PGU) yang menerbangkan tiga dron di tiga lokasi kerana kemungkinan mendapat permohonan daripada jabatan lain seperti KDNKA (Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam).
"Penggunaan dron ini bergantung kepada keperluan tetapi buat masa sekarang PGU memberi keutamaan kepada JSPT untuk membantu kita mengambil tindakan dan penguatkuasaan," katanya.
-- BERNAMA