Hanya sedar jadi mangsa Macau Scam selepas hampir 3 minggu

Aida Aziz
Julai 16, 2022 16:42 MYT
Seorang pemandu ambulans kerugian lebih RM21,000 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan 'tunggakan' cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang tidak wujud pada 27 Jun lalu.
TELUK INTAN: Seorang pemandu ambulans kerugian lebih RM21,000 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan 'tunggakan' cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang tidak wujud pada 27 Jun lalu.
Mangsa lelaki yang berumur 36 tahun itu hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan sindiket berkenaan selepas hadir ke sebuah bank pada Khamis lalu, untuk membuat kad bank baharu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki pada 27 Jun lalu, pada jam 12.30 tengah hari.
"Semasa mangsa berada di bengkel kereta di Teluk Intan, dia terima panggilan daripada seorang suspek lelaki yang mendakwa dari Syarikat LZ Trading.
"Lelaki itu berkata terdapat tunggakan cukai LHDN atas nama pengadu, di mana sindiket mendakwa kononnya ada pihak lain daftar syarikat LZ Trading tersebut menggunakan nama dan kad pengenalan pengadu.
"Mangsa menafikan perkara tersebut dan sindiket memintanya membuat laporan polis.
"Panggilan itu kononnya disambungkan pula ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di mana ada seorang lelaki mengatakan mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram dan tindakan mahkamah akan diambil kerana waran tangkap akan dikeluarkan atas nama mangsa," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya lagi, bimbang akan tindakan yang bakal diambil, mangsa kemudiannya bersetuju menyelesaikan kes tersebut dengan pihak sindiket.
Di samping itu, mangsa telah diarahkan membuat beberapa transaksi bagi mengelakkan ditangkap.
"Mangsa telah membuat empat kali transaksi ke tiga akaun berbeza yang diberikan suspek berjumlah RM2,000, RM7,900, RM1,278 dan RM10,000.
"Khamis lalu, mangsa pergi ke bank untuk membuka kad bank yang baharu dan memaklumkan tujuannya adalah untuk selesaikan kes pengubahan wang haram.
"Pihak bank menjelaskan bahawa individu yang menghubunginya adalah scammer," katanya lagi.
Justeru Ahmad Adnan berkata, mangsa hadir membuat laporan polis di Balai Polis Teluk Intan semalam kerana berasa tertipu dengan nilai kerugian RM21,178.
"Pengadu mengambil masa yang lama untuk membuat laporan polis kerana dia percaya apa yang dikatakan oleh sindiket," katanya.
Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau sekali lagi menasihatkan orang agar tidak mudah percaya kepada sebarang panggilan telefon yang tidak dikenali.
Tegasnya lagi, mana-mana agensi kerajaan yang berlainan, tidak akan menyambungkan sebarang panggilan telefon yang dibuat ke atas orang awam kepada agensi berbeza dalam satu panggilan sama.
#Macau Scam #mangsa penipuan #pemandu ambulans #LHDN #tunggakan cukai #Polis Daerah Hilir Perak #LZ Trading
;