Hanya satu ujian teori saja untuk lesen memandu kelas berbeza - Anthony

Bernama
Ogos 2, 2023 16:59 MYT
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada sidang media berkenaan penggabungan kursus dan ujian teori Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP01) bagi motorsikal dan motokar di Kementerian Pengangkutan hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Individu yang telah mempunyai lesen memandu kereta atau motosikal tidak perlu jalani ujian teori kali kedua untuk memohon lesen dalam kelas berlainan, berkuat kuasa 15 Sept ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Sebagai contoh, katanya. seseorang yang sudah lulus ujian Kursus Teori Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP01) dalam lesen memandu motosikal tidak perlu menduduki KPP01 untuk kali kedua apabila mengambil lesen memandu kereta.
Calon, bagaimanapun, masih wajib menjalani latihan dan menduduki ujian praktikal di litar dan praktikal di jalan raya secara berasingan apabila mengambil lesen memandu motosikal dan kereta, katanya.
"Umum mengetahui bahawa dalam kalangan rakyat Malaysia kebanyakannya mengambil lesen bagi motosikal dan kereta. Jadi kita gabungkan kelas teori dan ujian tersebut kerana tak perlu duduk dua kali," katanya dalam sidang media, di sini. hari ini.
Pemohon LMM motokar dan motosikal hanya perlu ambil ujian teori sekali
Loke berkata kaedah penggabungan itu pernah diamalkan di Malaysia sebelum ini sebelum ia diubah pada satu ketika, serta menambah sistem itu tidak akan menjejaskan tahap kekompetenan pemandu.
"Kita bawa balik sistem itu (sistem lama) gabungkan untuk mudahkan pemohon," katanya ia memudahkan cara pengambilan lesen memandu serta menjimatkan masa dan kos sehingga RM100 bagi pemohon lesen.
-- BERNAMA
#lesen memandu #ujian bertulis #Anthony Loke #ujian praktikal
;