Hanya satu pertuduhan terhadap CEO, 21 ahli GISB setakat ini - Peguam
Astro Awani
Oktober 23, 2024 17:15 MYT
Oktober 23, 2024 17:15 MYT
SELAYANG: Hanya satu pertuduhan sahaja yang dikenakan terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISB), Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan 21 lagi ahlinya di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini berbanding 10 akta yang disiasat Bukit Aman sebelum ini.
Ringkasan AI
- Hanya satu pertuduhan dikenakan terhadap CEO GISB Holdings Sdn Bhd dan 21 ahli lain, berbanding 10 akta yang disiasat sebelum ini.
- Peguam berharap tiada lagi pertuduhan akan dikenakan terhadap anak guam mereka, walaupun siasatan masih dijalankan oleh polis.
- Pertuduhan adalah mengikut Akta 130V (1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Peguam Datuk Rosli Kamaruddin berkata, beliau berharap tiada lagi pertuduhan yang akan dikenakan terhadap anak guamnya.
"Hanya ada satu pertuduhan terhadap 22 suspek, kita pun tak tahu akan ada pertuduhan lain, kerana polis menyiasat. Kalau awak ingat apa Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain kata, mereka sedang menyiasat mengikut 10 akta," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Mahkamah Selayang pada Rabu.
Terdahulu Rosli bersama pasukan pembelaan mewakili 22 individu termasuk CEO GISB yang didakwa mengikut Akta 130V (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di Mahkamah Sesyen, di sini, pagi tadi.
Antara pasukan pembelaan ialah Muhammad Zaim Rosli, MHafiz Zainol Abidin, Boestamam Ahmad dan Dorina Abdullah.
Mengulas lanjut Rosli berkata, pembelaan belum dimaklumkan sama ada semua anak guamnya masih berdepan siasatan tambahan bagi kes lain, antaranya Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM).
Mengikut pertuduhan, kesemua 13 lelaki dan sembilan wanita itu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di 33-B, Jalan Desa 1/1, Bandar Country Homes Rawang, antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.
Dalam pada itu, Rosli juga berkata, tiada had untuk pihak pembelaan untuk menghantar representasi kepada pihak pendakwaan.