Hanya satu aduan skim kawalan harga Aidilfitri - Hasan Malek

Bernama
Julai 18, 2015 19:11 MYT
Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bersempena Aidilfitri bermula dari 7 hingga 23 Julai ini. - Gambar Fail
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) hanya menerima satu aduan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bersempena Aidilfitri tahun ini, berbanding 10 aduan tahun lepas.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata ini memberi gambaran positif bahawa peniaga sudah memahami objektif skim itu dan bersedia mematuhinya.
"Terima kasih kepada peniaga kerana memberikan kerjasama terhadap skim ini. Begitu juga dengan pengguna yang sama-sama membantu memantau harga dan memudahkan kita menjalankan tanggungjawab.
"Apabila ada persefahaman dan persepaduan, rakyat dapat hidup dengan sejahtera," katanya pada rumah terbuka Aidilfitri beliau di Taman Bukit Chedang hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK Datuk Iskandar Halim Sulaiman dan Pengarah KPDNKK Negeri Sembilan Mohd Salleh Maamor.
Pemantauan harga 21 jenis barangan termasuk ayam segar, daging tempatan, daging import, telur ayam gred A,B dan C, tomato, kelapa dan bawang import disenaraikan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bersempena Aidilfitri bermula dari 7 hingga 23 Julai ini.
Hasan berkata kementerian membincangkan dengan pelbagai pihak berkenaan sebelum melaksanakan sesuatu skim demi memanfaatkan pengguna dan peniaga.
#Hasan Malek #kementerian perdagangan dalam negeri #Koperasi dan Kepenggunaan #KPDNKK #skim kawalan harga
;