Hanya RM1,635 untuk ambil pembantu rumah asing - TPM Zahid

Mariah Ahmad
Disember 15, 2017 16:03 MYT
Kos pengambilan pembantu rumah kini hanya RM1,635 iaitu penjimatan sehingga 90 peratus kepada majikan. - Foto fail
Bagi majikan yang mahu mengambil pembantu rumah asing (PRA), mereka hanya perlu membayar RM1635 melalui mekanisme pengambil secara dalam talian yang akan dilaksanakan pada 1 Januari depan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mekanisme ini bakal memberi penjimatan sebanyak 90 peratus berbanding kos pengambilan PRA sebelum ini.
"Secara lazimnya, kos pengambilan PRA sebelum adalah sebanyak RM18,000 namun melalui mekanisme dalam talian ini, majikan hanya perlu membayar RM1,635.
"Pelaksanaan inisiatif baharu ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada majikan, malah turut memberi jaminan hak dan perlindungan perburuhan kepada PRA," kata Zahid dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing tanpa izin di sini, hari ini.
Bagaimanapun, menurut Zahid kos pengambilan ini tidak termasuk bayaran penerbangan dan passport PRA.
Dalam sidang media yang sama, beliau turut mengumumkan bilangan pekerja asing sah di Malaysia berkurangan kepada 1.785 juta orang (November 2017) berbanding 2.135 juta pada tahun 2015.
#Ahmad Zahid Hamidi #kabinet #Kos pengambilan PRA #majikan #pati #Pekerja #pekerja asing #pembantu rumah asing #PRA #Timbalan Perdana Menteri #Zahid Hamidi
;