Hanya pokok berisiko tinggi ditebang, seimbang kehijauan bandar - Datuk Bandar

Aida Aziz
Jun 1, 2024 08:40 MYT
Pekerja kontraktor melakukan kerja-kerja penebangan pokok teduhan berusia yang dikenal pasti berisiko dan tidak selamat di Seremban. - Gambar hiasan/BERNAMA
IPOH: Pokok yang sudah berusia dan dalam kategori berisiko di bandar raya ini sentiasa dipantau dan ditebang sejak tahun lalu.
Sehubungan itu, Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) turut menghantar arkitek dari Bahagian Landskap mengikuti kursus berkaitan arborist (doktor pokok).
"Kita memang hantar arkitek landskap MBI ke kursus arborist bagi memahami dan mempelajari teknik tentang perkara ini.
"Sebenarnya MBI sudah laksana kajian dan penjagaan pokok ini sejak tahun 2021. Setakat ini pokok berisiko sentiasa dipantau dan diberikan penjagaan yang perlu mengikut kesesuaian bermula tahun lalu.
"Pokok yang tumbang di beberapa kawasan baru-baru ini di Ipoh, disebabkan hujan, didapati bukan dalam kategori berisiko tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Mei, di sini semalam.
Dalam pada itu, Rumaizi berkata, adalah penting untuk menyeimbangkan kepentingan pokok besar dan keperluan untuk menebang.
Ini kerana, menurutnya, kehijauan pokok bersaiz besar penting untuk alam semula jadi.
"Pokok yang berisiko besar memang kita tebang habis, dalam masa yang sama kita kena seimbangkan antara risiko dan kehijauan.
"Pokok besar itu mempunyai kadar serapan karbon yang tinggi, kalau kita tebang semua maka Ipoh akan jadi lebih panas," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menyarankan supaya pihak berkuasa tempatan mempunyai arborist dalam perkhidmatan.
Ia bagi menambah baik pengurusan landskap di setiap kawasan perbandaran.
Baru-baru ini juga, negara sering dikejutkan dengan kejadian pokok besar tumbang yang berlaku di ibu negara dan beberapa negeri lain, sehingga ada yang menyebabkan kematian dan kecederaan kepada pengguna jalan raya.
#Pokok tumbang #Rumaizi Baharin #Majlis Bandaraya Ipoh #tebang pokok berisiko
;