Hanya petugas media, penyokong Muhyiddin masih belum kelihatan

Ridauddin Daud
Mac 9, 2023 09:31 MYT
Petugas media tempatan dan antarabangsa sudah mula berkampung di hadapan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya, seawal jam 8.30 pagi. - Gambar Astro AWANI
PUTRAJAYA : Petugas media tempatan dan antarabangsa sudah mula berkampung di hadapan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, seawal jam 8.30 pagi.
Semuanya dalam keadaan siap sedia menanti ketibaan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM pada jam 11 pagi.
Setakat jam 9.20 pagi, masih belum kelihatan kumpulan penyokong beliau yang difahamkan akan hadir bagi menyatakan sokongan kepada Ahli Parlimen Pagoh itu.
Begitupun, beberapa penyokong, majoritinya memakai baju putih sudah tiba namun jumlahnya setakat jam 9.20 pagi masih tidak begitu ramai, tidak sampai 100 orang.
Difahamkan, mereka diminta untuk berkumpul pada jam 9 ke 10 pagi dan melihat kepada keadaan sekarang, jumlahnya dijangka semakin meningkat dalam beberapa jam akan datang.
Astro AWANI pada Rabu melaporkan SPRM akan memanggil Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu hari ini untuk memberi keterangan berhubung siasatan wang RM300 juta disyaki diterima parti itu daripada dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi COVID-19.
Astro AWANI akan terus berada di ibu pejabat SPRM bagi melaporkan perkembangan ini dari semasa ke semasa.
#Muhyiddin Yassin #SPRM #Jana Wibawa #dana RM300 juta
;