Hanya pemetik api, bukan bom tangan - KPN

Bernama
September 16, 2016 04:26 MYT
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pemetik api tersebut telah dibeli lelaki Syria berusia 30-an itu semasa di Port Dickson. - Gambar fail
Tindakan lima sekeluarga warga Syria membeli pemetik api berbentuk replika bom tangan membawa padah apabila mereka ditahan polis di Cameron Highlands, lewat malam tadi.
Semalam, media melaporkan seorang lelaki Syria berusia 30-an bersama keluarganya yang menginap di sebuah hotel di Port Dickson telah tertinggal sebuah beg yang mengandungi objek berkenaan di bawah katil.
Beg berkenaan telah dijumpai salah seorang pekerja hotel berkenaan yang melakukan pemeriksaan rutin di dalam bilik ketika pelanggan membuat pendaftaran keluar sebelum lelaki itu kembali semula untuk mengambil beg itu.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi laman Twitter rasminya.
Beliau berkata kesemua pelancong itu ditahan oleh anggota Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman.
Khalid berkata pemetik api tersebut telah dibeli lelaki itu semasa di Port Dickson. -- BERNAMA
#lelaki syria #pemetik api #replika bom tangan #Tan Sri Khalid Abu Bakar