Hanya pembangunan menguntungkan rakyat dilaksanakan di Langkawi

Bernama
Februari 11, 2018 04:41 MYT
Pembangunan yang dirancang di Langkawi tidak hanya dipandu oleh keperluan untuk menjaga keadaan semula jadinya semata-mata. - BERNAMA/Fail
Pembangunan yang dirancang di Langkawi hanya akan dilaksanakan selepas mengambil kira semua aspek khususnya yang memberi manfaat kepada penduduknya, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Katanya perancangan ini dibuat bagi memastikan tahap keseimbangan dapat dicapai di antara hasrat untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan mengekalkan keadaan semula jadi di pulau ini.
"Kita mengambil kira deklarasi UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu) menjadikan Langkawi sebagai Geopark Global sebelum melaksanakan sebarang pembangunan," katanya semasa melancarkan Karnival Muafakat Komuniti dan Program Kor Anak Laut (Koral) Langkawi di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pandangan penasihat Global Geopark Langkawi, Prof Emeritus Datuk Ibrahim Komoo baru-baru ini yang mengatakan kelestarian dan pengekalan alam sekitar kurang menjadi keutamaan dalam pembangunan di pulau ini sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, kurangnya tumpuan kepada aspek ini boleh menyebabkan Langkawi kurang menjadi tarikan kepada pelancong yang ingin melihat keindahan semula jadinya yang unik.
Ahmad Bashah berkata kerajaan tidak mahu rakyat terus dibelenggu keadaan kemiskinan kerana terlalu terikat untuk memelihara alam sekitar sehingga tidak dapat melaksanakan apa-apa pembangunan di pulau ini.
Menurutnya pembangunan yang dirancang di Langkawi tidak hanya dipandu oleh keperluan untuk menjaga keadaan semula jadinya semata-mata.
"(Keperluan pembangunan lestari) itu pandangan dia (Prof Ibrahim) tetapi kita perlu memikirkan banyak perkara," katanya.
Beliau turut menyelar tindakan pembangkang yang cuba mengelirukan rakyat di pulau ini berhubung rancangan pembangunan semula Taman Lagenda di sini.
Katanya keperluan kawasan riadah hijau untuk orang ramai seperti Taman Lagenda yang terletak di Pekan Kuah ini sentiasa menjadi keutamaan kerana ia merupakan satu tarikan.
"Kalau hendak diikutkan rentak pembangkang, sampai bila pun Langkawi ini tidak akan membangun," katanya. - Bernama
#Ahmad Bashah Md Hanipah #Ibrahim Komoo #kelirukan rakyat #Langkawi #pelancong #pembangkang #pembangunan #Taman Lagenda
;