Hanya pejabat SPR Sarawak sahaja ditutup, bukan keseluruhan bangunan - Uggah
Astro Awani
Julai 25, 2020 17:54 MYT
Julai 25, 2020 17:54 MYT
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengambil langkah keselamatan dan garis panduan ditetapkan susulan satu kes positif COVID-19 melibatkan kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak.
Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menjelaskan, tiada keperluan untuk menutup keseluruhan bangunan sebaliknya hanya pejabat SPR negeri sahaja ditutup.
Malah tegasnya, operasi nyah kuman juga telah dilakukan di aras pejabat itu, bangunan termasuk lif.
"Langkah keselamatan sudah diambil dengan melakukan operasi nyah kuman di pejabat tersebut lif bangunan. Kita menjalankan langkah yang sama dan saya beri jaminan ia mencukupi.
"Mana-mana yang mempunyai kontak rapat dengan kes akan dikuarantin... malah, pejabat SPR Sarawak juga belum dibuka," katanya.
Ditanya mengenai sama ada JPBN Sarawak mengikuti garis panduan apabila langkah tidak menutup keseluruhan bangunan, Uggah menjelaskan ia adalah mengikut SOP.
Katanya, ini memandangkan kes itu bukan melibatkan kes yang besar dan mampu dikawal.
Kelmarin, Setiausaha SPR, Ikmarudin Ishak dalam satu kenyataan media berkata pejabat SPR Sarawak ditutup hingga 2 Ogos ini ekoran seorang daripada kakitangannya didapati positif COVID-19.
Jelas Ikmarudin, selaras dengan SOP pencegahan penularan COVID-19 yang ditetapkan Kementerian Kesihatan, kesemua kakitangan SPR Sarawak yang mempunyai kontak rapat dengan kakitangan berkenaan telah diarah menjalani saringan COVID-19 serta kuarantin kendiri wajib selama 14 hari.
Bagaimanapun, urusan-urusan pilihan raya seperti pendaftaran dan semakan pengundi serta yang berkaitan masih boleh dilakukan melalui portal rasmi SPR di www.spr.gov.my atau https://pengundi.spr.gov.my selain aplikasi MySPRDaftar dan MySPRSemak.
#COVID-19
#Datuk Amar Douglas Uggah Embas
#operasi nyah kuman
#Pengerusi JPBN Sarawak
#positif COVID-19
#SPR Sarawak