Hanya pakar boleh tentukan kes kanak-kanak diabai atau dibunuh dengan niat - Suhakam

Azib Zikry
Jun 13, 2024 10:25 MYT
Menurut Noor Aziah, jika ibu bapa atau penjaga didapati bersalah mendedahkan kanak-kanak kepada sebarang cara yang mungkin menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal atau emosi, mereka boleh didakwa mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
KUALA LUMPUR: Terdapat garis yang sangat nipis untuk menentukan sama ada sesebuah kes yang melibatkan kecederaan, kemalangan atau kematian seorang kanak-kanak adalah disebabkan pengabaian, atau dilakukan dengan niat membunuh, oleh ibu bapa atau penjaga.
Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, hanya fakta daripada pakar perubatan dan siasatan polis sahaja yang boleh menentukan kedua-dua senario berkenaan.
"Polis dan pegawai pakar perubatan yang akan menentukannya, daripada siasatan dan fakta kes.
"Kalau kes menyebabkan kematian tanpa niat, disebabkan pengabaian atau kecuaian, dia tidak dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman gantung sampai mati," katanya ketika ditemu bual dalam program AWANI Pagi hari ini yang membincangkan topik Hak Perundangan Kanak-kanak.
Menurut Noor Aziah, jika ibu bapa atau penjaga didapati bersalah mendedahkan kanak-kanak kepada sebarang cara yang mungkin menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal atau emosi, mereka boleh didakwa mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 menggariskan kesalahan membabitkan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.
"Dalam kes ini, polis juga akan meneruskan siasatan dan akan membuat pendakwaan mengikut seksyen yang relevan di bawah Akta Kanak-Kanak.
"Hanya pihak yang pakar yang akan menentukan siasatan dan akan dibawa ke Jabatan Peguam Negara untuk dibuat pertuduhan," tambahnya.
Hanya pakar tentukan kanak-kanak diabai atau niat membunuh
#kes bunuh #pengabaian kanak-kanak #pakar #Noor Aziah Mohd Awal
;