Hanya orang sakit jiwa kata saya meninggal dunia - Ibrahim Ali

Astro Awani
Februari 22, 2015 13:30 MYT
IBRAHIM: Hanya orang sakit jiwa kata saya meninggal dunia - Gambar fail
Penyebar fitnah yang menyatakan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali meninggal dunia disifatkan golongan yang mengalami sakit jiwa.
Tegas Ibrahim, dia terlalu kasihan dengan kumpulan berkenaan yang dilihat terlalu marah kerana kelantangannya dalam perjuangan.
"Saya amat kesian kepada pembuat fitnah ini dan mereka yang jahat ini amat marah kepada saya kerana bercakap benar, terus terang dan lantang.
"Kepada mereka yang sakit jiwa ini, nasihat saya jumpalah doktor pakar jiwa atau bomoh yang bertauliah.
Berubatlah sebelum terlambat. Saya bersyukur kepada Allah kerana memberi kesihatan, fikiran yang waras dan panjang umur untuk terus berjuang menentang puak fasik, hipokrit dan munafik," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Ibrahim mengulas pesanan Whatsapp dan catatan di media sosial sejak Sabtu yang mengatakannya sudah meninggal dunia.
Tegas Ibrahim, dakwaan itu merupakan fitnah jahat selain cubaan sebelum ini menggunakan gambar pembedahan pintasan jantung yang lama.
"Tuduhan viral itu adalah fitnah dengan sebelum ini pihak-pihak berkenaan pernah mencuba taktik sama dengan meletakkan gambar pembedahan saya yang lama," jelasnya.
Tambah Ibrahim, dia baru pulang dari United Kingdom untuk menghadiri majlis Maulidur Rasul anjuran pelajar di sana.
"Saya menjelajah di seluruh UK bermula 5 sehingga 18 Februari lepas untuk menghadiri beberapa program di beberapa lokasi di sana.
"Semua program mendapat sambutan dan berjaya. Selepas pulang ke Malaysia, saya ke Kem Bina Semangat di Meru untuk program anjuran Perkasa sendiri," ujarnya.
Sebelum ini, Penyelaras Kebangsaan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Md Sani Md Shah meminta polis menahan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ibrahim kerana menimbulkan ugutan serta ketakutan kepada masyarakat.
Tegas Md Sani, pihaknya melihat penahanan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan tindakan yang sangat selektif dan hanya mensasarkan kepada pemain politik yang tidak sehaluan dengan kerajaan pemerintah.
#Ibrahim Ali #meninggal dunia #PERKASA #SAMM
;