Hanya minum air laut sepanjang 9 hari dalam bot

Syah Hairizal Kamalul Arifin
September 8, 2017 23:52 MYT
Arafat dan keluarganya ditemui penulis di kawasan kaki lima di tengah-tengah kesibukan kota raya. - Astro AWANI
"BAPA saya mati kena tembak.
"Kawan bapa saya balik beritahu bapa saya mati kena tembak. Saya cuba cari mayat bapa saya tapi saya tak jumpa apa pun.
"Saya balik rumah semula dan beritahu ibu saya," jawab kanak-kanak berusia 11 tahun itu bila diajukan soalan kenapa kerap dilihat bersama ibu dan adik beradiknya di kaki lima di tengah-tengah kesibukan Kuala Lumpur.
Semua itu diceritakan secara bersahaja. Dia cuba mengenang kembali hari dia mengetahui bapanya ditembak mati tentera junta Myanmar dua tahun lalu.
"Mak saya menangis. Lepas itu kami semua lari naik bot ke Thailand.
"Saya dan dua orang adik saya ikut ibu naik bot dengan 300 orang lain keluar Myanmar.
"Ibu mengandung masa itu. Kami semua takut kena tembak," tambahnya lagi.
Mereka telah menempuh gelora selama sembilan hari di atas bot dengan hanya mengalas perut dengan air mineral yang dicampur air laut, sebelum tiba di Thailand.
Di Negara Gajah Putih itu, mereka ditahan pihak berkuasa dan terpoaksa merengkok dalam tahanan selama tiga bulan.
Seingat Arafat, ada satu hari, mereka dipindahkan keluardari tahanan itu dengan menaiki van sebelum menempuh jalan darat untuk akhirnya tiba di Malaysia.
Sejak itulah, Arafat dan tiga lagi adiknya bersama ibunya telah menjadikan kaki lima masjid dan pasar malam sebagai tempat mengemis bagi menyara kehidupan sejak tiba di Kuala Lumpur.
Dengan mengikuti pembelajaran asas di sekolah untuk anak-anak pelarian Rohingya, dia dapat bertutur bahasa Melayu, meskipun laras dan susunan katanya tidak sempurna.
Kini kanak-kanak kecil berusia setahun lebih itu turut menjadi sebahagian warga pengemis yang berada di kaki-kaki lima masjid untuk menagih simpati orang ramai.
"Assalamualaikum (pelat anak kecil memberi salam)," sapa anak kecil itu ketika saya sedang menemu bual abang dan ibunya.
Terdetik di hati, adakah anak-anak Malaysia secekal ini kehidupan mereka apabila ditimpa musibah yang maha dahsyat.
Apakah ada cara lain bagi membela nasib diri apabila sedar nyawa bagai di hujung tanduk apabila berdepan tentera junta?
Benar adakalanya kehadiran mereka ini di kaki-kaki lima menyakitkan mata kerana mereka seolah-olah cuba memperdaya orang ramai dengan membawa anak kecil bersama.
Tetapi yang pasti, mereka sama seperti rakyat Malaysia lain yang kehilangan ketua keluarga dan tempat bergantung ditambah dengan anak-anak yang masih kecil.
"Saya yang paling tua, dan ibu saya tidak pandai cakap Melayu. Saya perlu bantu keluarga saya," luah Arafat.
Mungkin kita sanggup mengeji kekhilafan mereka mengemis tetapi kita sebenarnya hanya melihat dari jauh tanpa bertanya kisah sebenar yang dilalui mereka.
Ikuti kisah lanjut anak beranak ini dalam Syah Kaki Lima episod ke 24 di saluran 501 dan astroawani.com.
#pelarian #Rohingya #syah kaki lima
;