Hanya kira-kira 75 peratus pengamal perubatan patuh kebersihan tangan
Anthea Yap
Mei 6, 2016 09:54 MYT
Mei 6, 2016 09:54 MYT
Hanya kira-kira 75 peratus pengamal perubatan di hospital kerajaan mematuhi amalan penjagaan kebersihan tangan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kawalan Infeksi dan Antibiotik Kebangsaan, Datuk Dr Christopher Lee.
Bagaimanapun Dr Christopher berkata, tahap pematuhan itu masih kurang memuaskan kerana pematuhan kebersihan tangan dalam kalangan pengamal perubatan perlu mencapai 100 peratus sesuai dengan status mereka.
"Tahap pematuhan yang kita gunakan secara standard adalah 70 peratus. Sekarang kita sudah meningkat kepada 80 peratus.
"Kita akan terus memastikan ia meningkat pada masa akan datang," katanya selepas majlis perasmian Hari Penjagaan Kebersihan Tangan Sedunia peringkat kebangsaan di Hospital Shah Alam, di sini, pada Khamis.
Tanpa menjaga standard kebersihan tersebut, golongan pesakit berdepan risiko mendapat jangkitan berkaitan penjagaan kesihatan (HCAI). Ia merupakan jangkitan pada pesakit sewaktu menerima rawatan kesihatan hingga boleh memburukkan lagi keadaan kesihatan pesakit dan berisiko membawa maut.
Christopher juga berkata terdapat lima prosedur penjagaan kebersihan tangan yang wajib dipatuhi golongan terbabit.
"Adalah wajib bagi pegawai perubatan dan jururawat untuk mencuci tangan sebelum dan selepas menyentuh pesakit, sebelum prosedur aseptik, selepas terdedah kepada cecair tubuh pesakit dan selepas menyentuh persekitaran pesakit," ujarnya.
Langkah itu bagi mengurangkan risiko pesakit terdedah kepada jangkitan kuman yang boleh mengakibatkan kematian.