Hanya kerana resit RM3.70, tol sesak?

Sinar Harian
November 9, 2018 18:52 MYT
Jurutol bertugas juga sudah memberi penjelasan secara terperinci malah pemandu itu tetap berdegil mahukan resit pembayaran dengan harga RM3.70 sen.
Seorang pemandu teksi berang tidak memperolehi sekeping resit transaksi pembayaran di sebuah plaza tol lalu bertindak merakam perbualannya dengan pekerja jurutol hingga tular di media sosial.
Bagaimanapun, rakaman itu 'memakan diri' apabila rata-rata netizen menyalahkan pemandu tersebut kerana berkeras mahukan resit sedangkan tertera notis penjelasan di tol itu, bahawa resit sudah tidak dikeluarkan oleh plaza tol berkenaan.
Video berdurasi 4.20 minit itu dipercayai dirakam dan dikongsi oleh pemandu teksi lelaki terbabit sebelum dimuatnaik semula ke beberapa laman Facebook seperti Messyuk Channel.
Jurutol bertugas juga sudah memberi penjelasan secara terperinci malah pemandu itu tetap berdegil mahukan resit pembayaran dengan harga RM3.70 sen.
Tindakan pemandu itu tidak mahu berganjak menyebabkan berlakunya kesesakan trafik di lorong tersebut, dipercayai laluan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga kedengaran bunyi hon dari beberapa kenderaan.
Kata pemandu itu, resit bayaran tol itu perlu sebagai bukti dalam pembayaran pelanggannya.
Dia turut mempertikaikan kaedah pengambilan resit bayaran tol atas talian dan dipercayai kurang memahami sistem baharu yang diperkenalkan oleh plaza tol.
Bukan itu sahaja dia turut mempersoalkan cara 'screen shoot' resit menerusi telefon yang disarankan oleh jurutol.
Susulan itu, seorang lelaki dipercayai dari kenderaan belakang teksi tampil mendekati mereka sebelum mengeluarkan wang RM4 bagi pihak pemandu teksi berkenaan.
Dalam perbualannya, dia meminta pemandu teksi meneruskan perjalanan kerana sikapnya itu mengakibatkan jalan menjadi sesak.
Sementara itu, ribuan netizen membanjiri ruang maklum balas video itu yang rata-rata mengecam tindakan pemandu tersebut.
Saifullah Azhar berkata, sikap yang dipamerkan oleh pemandu teksi itu mendorong orang ramai memilih Grab berbanding teksi.
Malah Jeanyfer Jeany memberitahu, pemandu teksi perlu lebih bertoleransi kerana sikapnya mengakibatkan kesesakan jalan raya sekaligus menyusahkan ramai pihak.
Sehingga kini, video itu meraih 419,000 tontonan dan hampir 3,000 perkongsian dari netizen.
Selain itu, memetik kenyataan Plus Malaysia Berhad (Plus) telah memaklumkan, mulai 19 Mac ini, tiada lagi resit tol bagi transaksi tol akan dicetak dan dikeluarkan di semua plaza tol di semua lebuh raya kendaliannya.
Langkah ini merupakan salah satu daripada pendekatan Plus untuk mengelakkan kesesakan apabila kenderaan keluar dari lebuh raya.
Bagaimanapun, pengguna boleh mendapatkan resit transaksi tol secara atas talian menerusi portal PLUSMiles ataupun portal Touch ‘n Go.
“Matlamat pelaksanaan transaksi tol secara elektronik sepenuhnya yang lebih pantas dan mudah sukar dicapai sekiranya masih terdapat sesetengah pengguna lebuh raya yang masih mahu mencetak resit tol bagi perjalanan mereka,” kata Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi.
#KLIA #Malaysia #PLUS #resit #tol #video
;